AM

Usaha Banteras Rasuah Tuntut Kerjasama Semua Pihak - PM Anwar

30/06/2026 10:27 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Usaha membanteras rasuah tidak boleh digalas satu institusi semata-mata, sebaliknya menuntut kerjasama erat antara institusi penguatkuasaan, badan penasihat, Parlimen, sektor awam, sektor swasta serta seluruh masyarakat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata dalam konteks itu, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), berperanan penting sebagai mekanisme semak dan imbang dengan memberikan pandangan bebas dan kritikal, bagi memperkukuh keberkesanan usaha pencegahan rasuah. 

“Di Parlimen tadi, saya menyempurnakan penyerahan surat cara pelantikan kepada anggota baharu JKMR dan LPPR, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya sampaikan amanat kepada anggota yang baharu dilantik supaya membulatkan tekad dalam memperkukuh agenda pencegahan rasuah,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Beliau berkata meskipun mereka datang daripada pelbagai latar belakang, anggota yang dilantik berkongsi satu amanah untuk memperkasakan usaha membanteras rasuah demi kepentingan negara.

JKMR diwujudkan secara perundangan mengikut seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan ahli-ahli JKMR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat, mewakili parti pemerintah dan pembangkang.

Sementara LPPR, diwujudkan mengikut seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan ahli-ahli dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan orang yang berintegriti dan telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau mencapai keunggulan dalam profesion masing-masing.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan malam ini memaklumkan sebanyak lima indvidu telah dilantik Yang di-Pertuan Agong sebagai ahli JKmR dan ahli LPPR bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 3 Jun 2026 hingga 3 Jun 2029.

Pelantikan tersebut adalah atas nasihat Perdana Menteri, selaras dengan peruntukan Seksyen 13 dan 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].

SPRM memaklumkan kesemua yang dilantik terdiri daripada Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang mewakili parti kerajaan dan parti pembangkang, serta kumpulan profesional. 

Mereka ialah Ahli Dewan Rakyat Parlimen Kuala Pilah Datuk Adnan Abu Hassan yang dilantik sebagai Pengerusi, Ahli Dewan Rakyat Parlimen Batang Lupar Mohd Shafizan Kepli yang dilantik semula sebagai ahli JKmR bagi penggal kedua dan merangkap Timbalan Pengerusi JKmR.

Turut dilantik Ahli Dewan Rakyat Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan sebagai ahli JKmR, Ahli Dewan Rakyat Parlimen Bentong Young Syefura Othman yang dilantik semula sebagai ahli JKmR bagi penggal kedua.

Sementara itu, Naib Canselor Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) Datuk Dr Mohd Kassim Noor Mohamed dilantik sebagai Timbalan Pengerusi LPPR.

Kenyataan itu memaklumkan surat cara pelantikan berkenaan telah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Sri Abd Halim Aman, yang juga selaku ex-officio LPPR  di Bangunan Parlimen, hari ini. 

SPRM memaklumkan JKmR dan LPPR merupakan dua daripada lima badan pemantau bebas yang diwujudkan di bawah Akta 694, untuk memastikan keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti SPRM.

JKmR berperanan menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek masalah rasuah dalam negara, memeriksa Laporan Tahunan SPRM, memeriksa ulasan LPPR tentang penjalanan oleh Suruhanjaya akan fungsinya di bawah Akta 694 dan untuk mendapatkan penjelasan dan penerangan mengenai laporan tahunan Suruhanjaya dan ulasan LPPR.

“Manakala LPPR berperanan menasihatkan apa-apa aspek masalah rasuah, dasar dan strategi SPRM dalam usaha untuk membanteras rasuah, menerima, meneliti serta mengendors cadangan daripada SPRM ke arah perjalanan cekap dan berkesan Suruhanjaya,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, LPPR juga berperanan meneliti dan mengendors keperluan sumber SPRM untuk memastikan keberkesanannya, meneliti laporan tahunan SPRM sebelum dikemukakan kepada JKmR dan mengemukakan ulasan tentang penjalanan oleh SPRM sebelum dikemukakan kepada JKmR.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan