SUKAN

Sukar Sekat Buriram United, JDT Tewas 1-3

06/05/2026 10:55 PM

ISKANDAR PUTERI, 6 Mei (Bernama) --  Peluang Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk melangkah ke final dilihat semakin pudar selepas tewas 1-3 kepada Buriram United pada aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.

Kekalahan di laman sendiri itu meletakkan skuad Harimau Selatan dalam situasi sukar yang menuntut misi 'mustahil' apabila bertandang ke Stadium Buriram, Thailand bagi aksi timbal balik, 13 Mei ini.

Pada aksi malam ini, Buriram United selesa mendahului dua gol pada babak pertama dengan jaringan pembukaan Guilherme Bissoli pada minit ke-33 hasil hantaran Sasalak Haiprakhon, sebelum Goran Causic menggandakan kedudukan menerusi tandukan pada minit akhir babak pertama.

Babak kedua bagaimanapun diwarnai ketegangan yang menyaksikan pemain JDT Oscar Arribas serta dua pemain pasukan pelawat Supachai Chaided dan Kenneth Dougall dilayangkan kad kuning oleh pengadil, selain satu gol Buriram United dibatalkan kerana ofsaid pada minit ke-54.

Skuad bimbingan Xisco Munoz  yang dilihat berkerja keras di hadapan penonton sendiri berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit terakhir perlawanan menerusi rembatan lencong Ager Aketxe tepat ke penjuru gawang pelawat.

Bagaimanapun, kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Bissoli mencetak gol kedua peribadi pada masa kecederaan, sekali gus memberikan kedudukan selesa buat Buriram United dengan 3-1.

Keputusan itu kekal hingga wisel penamat, menyaksikan JDT perlu menang dengan perbezaan sekurang-kurangnya tiga gol di tempat lawan minggu depan, jika mahu mengintai slot di pentas final.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan