JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Benarkan Rayuan Majlis Peguam Cabar DNAA Ahmad Zahid

07/05/2026 12:16 PM

PUTRAJAYA, 7 Mei (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan Majlis Peguam dalam usahanya untuk mencabar keputusan pendakwaan yang memberikan perintah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Faizah Jamaludin, bersama-sama Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin memutuskan bahawa permohonan Majlis Peguam itu bukanlah sesuatu yang remeh, namun menimbulkan isu yang boleh dibicarakan yang wajar didengar pada peringkat substantif.

"Kes ini sesuatu yang wajar, jarang berlaku dan luar biasa yang memerlukan semakan kehakiman penuh. Kebenaran diberikan kepada perayu untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara yang dipertikaikan. Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 diketepikan.

 "Kes ini juga akan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran substantif semakan kehakiman. Tiada perintah mengenai kos," kata Hakim Faizah dalam keputusan sebulat suara di sini.

Pada 27 Jun 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Majlis Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman atas alasan perkara itu tidak memenuhi syarat ambang bagi semakan kehakiman. Majlis Peguam kemudian memfailkan rayuan.

 

Berita lanjut menyusul

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan