EKONOMI

65 Peratus Pelatih Program Invested SC Dapat Kerja Sejak 2023

07/05/2026 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Sebanyak 65 peratus daripada 581 pelatih investED, program siswazah utama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), berjaya mendapat pekerjaan dalam pasaran modal sejak inisiatif itu diperkenalkan pada 2023.

SC dalam kenyataan hari ini memaklumkan baki pelatih itu pula bekerja dalam sektor lain termasuk perbankan, teknologi kewangan (fintech), perundingan dan perakaunan.

Selain itu, program Asasi investED yang menyediakan pengetahuan pengenalan dan pensijilan asas pasaran modal, mencatat penyertaan seramai 3,072 peserta merangkumi tiga kohort yang terbukti mengatasi sasaran sebanyak 2,400.

“Sejak diperkenalkan pada 2023, program investED telah menjalankan usaha jangkauan yang melibatkan lebih 190,000 pelajar universiti dan siswazah baharu di seluruh negara menerusi pameran kerjaya dan sesi ceramah,” menurutnya.

Pada hari ini, SC mengadakan Majlis Graduasi investED Kohort 3 bagi meraikan sebanyak masing-masing 210 dan 513 graduan Kohort 3 Program Kepimpinan dan Asasi investED.

Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata saluran bakat yang mampan adalah penting untuk menyokong Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 yang diunjurkan dapat meningkatkan saiz pasaran kepada antara RM5.8 trilion dan RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan investED sebagai selaras dengan keperluan industri dan merupakan platform pembinaan kapasiti yang boleh dipercayai dan berkesan, memberi hasil tenaga kerja ketara untuk pasaran modal Malaysia.

“(Usaha) dengan menggabungkan latihan berstruktur dengan pendedahan di tempat kerja akan memastikan peserta bersedia untuk peranan mereka dan mampu menyumbang kepada industri,’’ katanya.

Program investED menumpukan pembangunan kemahiran khusus untuk industri pasaran modal dan menggabungkan latihan intensif bilik darjah selama sebulan di Asia School of Business dengan penempatan selama enam bulan di 50 syarikat rakan kongsi pasaran modal yang menjadi penghubung antara pengajian akademik dan latihan profesional.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan