| BERITA TERGEMPAR | Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | |
JOHOR BAHRU, 8 Mei (Bernama) – Semua pemegang MyKad lama di negara ini tidak diwajibkan untuk menukar kepada MyKad baharu menjelang pelancarannya pada 1 Jun depan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Memiliki MyKad adalah satu kewajipan, tetapi tidak disebut semua rakyat perlu menukar kad secara serentak (pada tarikh pelancaran kad baharu itu). Jadi saya minta jangan berpusu-pusu pergi ke JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) untuk tukar, ambillah sedikit masa.
"Undang-undang tidak mengatakan mulai 1 Jun apabila MyKad baharu dikeluarkan, pemegang MyKad lama wajib terus menukar kad mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatannya ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Stesen Bukit Chagar bagi meninjau projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, di sini, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata pemilikan MyKad diwajibkan bagi individu apabila mencapai usia 12 tahun, dan ketika ini terdapat lebih 20 juta rakyat di negara ini memiliki kad pengenalan tersebut.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Badrul Hisham Alias dilaporkan berkata MyKad baharu itu akan dilengkapi dengan 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada.
Beliau berkata antara ciri keselamatan itu ialah turihan laser, ultraungu, hologram, guilloche, teks mikro, kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan dan cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkatkan.
Katanya, selain MyKad, MyPoCA dan MyTentera turut akan menampilkan versi baharu pada bulan depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial