AM

Sektor Pelancongan Pulau Di Sabah Perlu Diberikan Subsidi Diesel, Petrol

08/05/2026 09:00 PM

SEMPORNA, 8 Mei (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) meminta supaya sektor pelancongan di negeri itu, khususnya di kawasan pulau diberikan bantuan subsidi diesel dan petrol.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata krisis bekalan global memberi kesan kepada pengusaha pelancongan di pulau, sekali gus meningkatkan kos operasi harian mereka apabila harga diesel dan petrol naik mendadak.

“Misalnya di pulau di Semporna, kos yang mereka belanja mungkin dalam RM100,000 sebelum ini tetapi selepas kenaikan harga minyak, kos untuk membawa pelancong ke resort, kawasan menyelam dan mengelilingi pulau bertambah dua kali ganda.

“Resort di kawasan pulau tiada bekalan elektrik dan bergantung kepada generator yang menggunakan diesel. Ini akan membebankan pengusaha pelancongan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jafry berkata KePKAS akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Kewangan bagi membolehkan sektor pelancongan di Sabah tersenarai sebagai antara sektor yang mendapat subsidi.

Beliau berkata sektor pelancongan tidak tersenarai dalam Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) atau Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana dianggap beroperasi secara komersial untuk keuntungan.

Pada 4 Mei, KPDN memaklumkan pendaftaran untuk SKDS dibuka bagi kenderaan pengangkutan barangan darat bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.  

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan