KULIM, 9 Mei (Bernama) -- Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) apabila berjaya menanam sebanyak 700 pokok Tabebuia Pentaphylla atau Tecoma dalam masa satu minit.
Penanaman pokok itu membabitkan 480 peserta termasuk warga MPKK, ahli majlis serta rakan strategik MPKK, bersempena dengan Program Jom Tanam Pokok: '1 Warga MPKK 1 Pokok' di kawasan lapang Kulim Hi-Tech Fasa 4A, dekat sini pagi tadi.
Sijil pengiktirafan MBR diserahkan oleh Pegawai Rasmi MBR Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah kepada Yang Dipertua MPKK Datuk Elmi Yusoff, selepas program penanaman selesai.
Elmi berkata program penanaman pokok itu diadakan bersempena dengan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun MPKK.
"Program itu antara pengisian sambutan bagi menghijaukan kawasan Kulim selaras dengan aspirasi menjadikan Kulim sebagai kawasan rendah karbon, mesra alam sekitar dan berdaya huni.
"Pemilihan kawasan Perindustrian Kulim Hi-Tech Fasa 4A sebagai lokasi program turut membawa mesej simbolik bahawa pembangunan industri dan kelestarian alam perlu bergerak seiring demi kesejahteraan masyarakat dan generasi akan datang," katanya selepas merasmikan program berkenaan, di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Elmi berkata selepas 25 tahun penubuhannya, MPKK bukan lagi sekadar sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menguruskan perbandaran dan infrastruktur, sebaliknya telah berevolusi menjadi peneraju perbandaran industri berteknologi tinggi dan lestari.
"Sambutan 25 tahun MPKK tidak harus dilihat pada angka semata-mata, tetapi pada sejauh mana MPKK berjaya meninggalkan pembangunan lestari buat generasi yang bakal mewarisi bumi Kulim.
"Penegasan ini mencerminkan hala tuju MPKK untuk terus memacu pembangunan bandar yang bukan sahaja progresif dari segi ekonomi dan infrastruktur, malah seimbang dengan keperluan pemeliharaan alam sekitar," katanya.
Beliau berkata penanaman pokok teduhan berbunga di kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech Fasa 4A turut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha 'urban rejuvenation' bagi mengubah landskap industri kepada persekitaran yang lebih hijau, nyaman dan berjiwa.
"Pokok Tecoma yang juga dikenali sebagai 'sakura Malaysia' bukan sahaja berperanan mencantikkan kawasan, malah membantu meredupkan suhu persekitaran selain bertindak sebagai penapis karbon semula jadi.
"Setiap pokok yang ditanam diharap menjadi sumbangan berpanjangan kepada kesihatan awam, biodiversiti dan kestabilan iklim di Kulim," katanya.
Elmi berkata pelaksanaan program itu juga satu usaha menyokong kempen penanaman 2.2 juta pokok yang dijalankan pada peringkat negeri Kedah.
"Inisiatif ini membantu meningkatkan litupan hijau, mengurangkan kesan perubahan iklim dan memperindah landskap negeri.
"Untuk warga MPKK pula, terus kekalkan momentum kecemerlangan ini, jadikan setiap pohon yang ditanam sebagai pembakar semangat untuk kita terus berbakti dengan lebih rimbun dan lebih memberikan manfaat kepada masyarakat," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial