JENAYAH & MAHKAMAH

Remaja Perempuan OKU Dilaporkan Hilang, Ditemukan Selamat

09/05/2026 07:14 PM

KANGAR, 9 Mei (Bernama) -- Remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran yang dilaporkan hilang di sebuah klinik kesihatan pada Khamis lepas ditemukan selamat semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata remaja berusia 13 tahun itu ditemukan di rumah seorang rakan perempuan oleh ibunya pada 6.30 petang, selepas dimaklumkan oleh saudara menerusi panggilan telefon kira-kira 20 minit sebelum itu.

“Keterangan remaja perempuan itu mendapati dia keluar dari klinik kesihatan untuk ke sebuah bank dengan berjalan kaki bagi menyemak duit bantuan OKU sebelum memutuskan ke rumah rakan itu.

“Dia memberitahu telah mendapat izin daripada ibunya untuk bermalam di rumah itu kepada ibu bapa rakannya. Tujuan remaja itu ke situ kerana bosan tiada kawan untuk bersembang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusharifuddin berkata remaja itu telah meminta maaf kepada ibunya dan polis menasihatkannya supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut. 

Semalam, Yusharifuddin berkata remaja itu disedari hilang pada 2.40 petang 7 Mei selepas memberitahu ibunya hendak ke tandas semasa mereka menunggu giliran di klinik kesihatan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan