DUNIA

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Dan Mata Wang Utama

12/05/2026 09:24 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, termasuk dolar AS, menjelang pengumuman data ekonomi utama Amerika Syarikat (AS) malam nanti, dijangka dapat mengukuhkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mengekalkan kadar faeda, kata seorang penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9200/9300 berbanding dolar AS daripada 3.9220/9260 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata indeks harga pengguna (IHP) AS bagi April akan diumumkan malam ini dengan IHP utama dan teras dijangka melonjak masing-masing sebanyak 3.7 peratus (Mac: 3.3 peratus) dan 2.7 peratus (Mac: 2.6 peratus).

“Oleh itu, Fed AS mungkin mengekalkan kadar faedah yang stabil, manakala penurunan kadar faedah pada tahun ini dijangka kekal rendah.

“Ringgit dijangka kekal dalam mod dagangan kekal tidak berubah (mendatar) dalam tempoh terdekat memandangkan risiko geopolitik kekal memuncak dengan pertemuan berimpak tinggi antara Presiden AS, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping yang dijadual berlangsung minggu ini," katanya kepada Bernama.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.4925/4990 daripada 2.4955/4983 ketika ditutup pada Isnin dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.3312/3448 daripada 5.3331/3383 semalam, bagaimanapun merosot berbanding euro kepada 4.6162/6280 daripada 4.6150/6197 sebelumnya.

Pada masa sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit menambah berbanding dolar Singapura kepada 3.0883/0964 daripada 3.0887/0921 ketika ditutup semalam dan melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 225.1/225.7 daripada 225.2/225.5 sebelum itu.

Bagaimanapun, mata wang tempatan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada  6.41/6.43 daripada 6.41/6.42 ketika ditutup semalam dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.1374/1759 daripada 12.0900/1083 sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan