EKONOMI

CGC Lantik Madelena Mohamed Sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Berkuatkuasa 1 Mei

12/05/2026 10:39 AM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) telah melantik Madelena Mohamed sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas, berkuat kuasa 1 Mei 2026.

CGC melalui satu kenyataan hari ini berkata Madelena juga berkhidmat sebagai pengarah bukan eksekutif CGC Digital Sdn Bhd, anak syarikat CGC dan ahli lembaga Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Pengerusi CGC Datuk Mohammed Hussein dalam kata-kata aluannya memberitahu pelantikan Madelena akan mengukuhkan lembaga pengarah dengan pengetahuan institusi yang luas, kepakaran dasar dan kepimpinannya dalam kemapanan serta tadbir urus strategik.

“Pengalaman beliau akan menjadi tidak ternilai memandangkan CGC akan terus meningkatkan peranannya dalam menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), sambil kekal sejajar dengan keutamaan pembangunan negara serta objektif kestabilan kewangan jangka panjang,” katanya. 

Madelena kini berkhidmat sebagai penolong gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), beliau menyelia sektor strategi dan kelestarian, merangkumi fungsi pejabat gabenor, perundangan, komunikasi strategik serta kemampanan.

Beliau membawa lebih 30 tahun pengalaman merentasi pelbagai pembangunan sektor kewangan dan penilaian kestabilan kewangan, meliputi penggubalan dasar strategik, kehematan mikro termasuk makro kewangan, serta dasar pengurusan krisis bagi sistem kewangan Malaysia.

Beliau memegang ijazah bidang ekonomi, pengkhususan dalam perakaunan dan kewangan dari London School of Economics and Political Science. Beliau juga merupakan pemegang piagam penganalisis kewangan (CFA). 

Menurut CGC, pelantikan Madelena dibuat berikutan peletakan jawatan penolong gabenor BNM Suhaimi Ali, yang menamatkan perkhidmatannya sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas CGC dan pengarah bukan eksekutif CGC Digital pada 30 April 2026. Beliau menyertai lembaga CGC pada 28 April 2022.

“CGC merakamkan penghargaan ikhlas kepada Suhaimi atas sumbangan dan khidmat berdedikasi beliau semasa memegang jawatan dalam lembaga pengarah, yang mana beliau membawa pengalaman dan pandangan perbankan pusat selama 28 tahun yang telah menyokong keutamaan strategik CGC,” kata CGC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan