EKONOMI

Bursa Malaysia Tegur Secara Terbuka Ireka, Tujuh Bekas Pengarah Dengan Denda RM425,000

11/05/2026 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd menegur secara terbuka Ireka Corp Bhd (Ireka) dan tujuh bekas pengarahnya di atas pelanggaran Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities selain mengenakan denda berjumlah RM425,000 ke atas pengarah-pengarah terlibat.

Bursa Malaysia Securities dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan firma pembinaan itu ditegur secara terbuka di atas tiga pelanggaran.

Ini termasuk pengumuman syarikat itu berkaitan surat setuju terima (LOA), kegagalannya untuk mendedahkan status surat cara perjanjian (AOA) serta kelewatan dalam mengumumkan penamatan kontrak.

Bursa menyatakan pelanggaran tersebut dilakukan semasa Ireka masih tersenarai dalam Senarai Rasmi Bursa Malaysia Securities walaupun syarikat itu dinyahsenarai pada 10 Mac, 2026.

Menurut Bursa Malaysia Securities pengumuman LOA bertarikh 8 Okt, 2024 berkaitan subkontrak bernilai RM1.07 bilion bagi projek Pan Borneo Sabah Fasa 1B, didapati gagal mendedahkan maklumat material.

Ini termasuk gagal mendedahkan mengenai pengaturan subkontrak berbilang peringkat dan fakta bahawa LOA tersebut tertakluk kepada kelulusan serta pembiayaan yang perlu diperoleh terlebih dahulu.

Ia menyatakan pengguguran maklumat tersebut menghalang pelabur daripada memahami sepenuhnya struktur projek dan risiko berkaitan terutamanya ketidaktentuan mengenai kesinambungan LOA itu.

Bursa juga mendapati Ireka gagal mengumumkan dengan segera kegagalan pelaksanaan AOA dalam tempoh masa yang ditetapkan dan pelanjutan seterusnya serta penamatan LOA yang berpunca daripada penamatan perjanjian pengurusan operasi projek pada 30 Jun, 2025.

Menurut Bursa Malaysia Securities, tujuh pengarah pada masa itu melanggar perenggan 16.13(b) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia kerana membenarkan Ireka melakukan pelanggaran berkenaan.

Bekas Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail dan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Chairil Mohd Tamil masing-masing dikenakan teguran terbuka dan denda RM50,000 atas pelanggaran pengumuman LOA.

Selain itu kedua-duanya dikenakan teguran bersama dan denda tambahan RM50,000 setiap seorang bagi pelanggaran pengumuman AOA dan pelanggaran pengumuman penamatan kontrak.

Bekas Pengarah Eksekutifnya Chow Sung Chek Simon turut dikenakan teguran secara terbuka dan denda RM50,000 atas pelanggaran pengumuman LOA serta RM25,000 bagi pelanggaran pengumuman penamatan kontrak.

Sementara itu, bekas Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan Tan Sri Mohd Ismail Che Rus, Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Shahruladeri Mohamad Adnan dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Norhaizam Mohammad antara yang turut dikenakan teguran terbuka dan denda di atas pelanggaran tersebut.

Bursa Malaysia Securities menyatakan pendedahan maklumat material yang tepat pada masanya, menyeluruh selain tepat amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang berinformasi serta  bagi mengekalkan integriti pasaran dan keyakinan pelabur.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan