EKONOMI

Indeks Harga Seunit Pasir Naik 0.4-14.5 Peratus Pada April 2026 - DOSM

12/05/2026 03:07 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Indeks harga seunit pasir meningkat pada April 2026, dengan kenaikan antara 0.4 peratus hingga 14.5 peratus di seluruh negara, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan tertinggi indeks harga bahan tersebut direkodkan di Terengganu dan Kelantan (14.5 peratus), diikuti Pahang (14.4 peratus) dan Miri (14.1 peratus).

Beliau berkata indeks harga seunit bagi besi turut meningkat pada April 2026, dengan kenaikan antara 0.1 peratus hingga 6.1 peratus bulan ke bulan.

“Kenaikan tertinggi bagi bahan tersebut direkodkan di Perak (6.1 peratus), diikuti Johor (2.7 peratus) serta Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (2.4 peratus),” katanya.

Selain itu, DOSM melaporkan indeks harga seunit simen turut mencatatkan peningkatan pada April 2026 dengan perubahan antara 0.1 peratus hingga 6.0 peratus bulan ke bulan di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Kenaikan tertinggi bagi bahan tersebut direkodkan di Sibu (6.0 peratus), diikuti Johor (3.9 peratus) dan Miri (3.5 peratus).

Secara tahun ke tahun, DOSM berkata indeks harga seunit bagi pasir meningkat antara 2.8 peratus hingga 18.6 peratus melibatkan kebanyakan kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Kenaikan tertinggi dicatatkan di Miri (18.6 peratus), diikuti Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan (16 peratus)," katanya.

Pada masa sama, indeks harga seunit simen meningkat antara 1.0 peratus hingga 7.5 peratus tahun ke tahun di seluruh negara, dengan kenaikan tertinggi direkodkan di Kuching (7.5 peratus), diikuti Perak (6.9 peratus) dan Miri (6.7 peratus).

Sementara itu, Mohd Uzir berkata harga purata seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars meningkat 2.3 peratus bulan ke bulan kepada RM3,504.20 satu tan metrik berbanding RM3,426.80 pada Mac 2026.

Harga purata simen Portland biasa turut meningkat 1.3 peratus kepada RM25.90 setiap 50 kilogram sekarung berbanding RM25.55 pada Mac 2026.

Sementara itu, Indeks Kos Bahan Binaan (IKB) dengan bar keluli di Semenanjung Malaysia bagi April 2026 meningkat antara 0.1 peratus hingga 3.7 peratus bulan ke bulan.

"Bagaimanapun, terdapat penurunan kecil IKB dengan bar keluli bagi kategori bangunan kayu dan cerucuk kayu antara -0.1 peratus hingga -1.2 peratus di Pahang, Terengganu dan Kelantan," kata DOSM.

Di Sabah, BCI dengan bar keluli meningkat sedikit antara 0.1 peratus hingga 0.7 peratus bagi hampir semua kategori bangunan, manakala di Sarawak ia meningkat antara 0.4 peratus hingga 5.6 peratus bagi semua kategori bangunan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan