KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Kapasiti kolam takungan banjir di ibu negara kini dianggarkan hanya sekitar 30 peratus berbanding saiz asal susulan penyusutan kawasan kolam berkenaan di Jinjang dan Batu akibat pembangunan di 17 lot tanah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata pihaknya memandang serius keadaan membabitkan 70 peratus daripada 17 lot tanah berkenaan yang telah diberi hak milikan kepada pemaju sejak 2015 bagi tujuan pembangunan sehingga menyebabkan berkurangnya kapasiti badan air berbanding keluasan asal 114.5 hektar.
“Sekarang ini hanya tinggal 34.35 hektar sahaja badan air selepas pemberian milikan. Jadi kerisauan kita kalau semua bina (pembangunan), kapasiti badan air itu akan berkurangan,” katanya pada sidang media di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.
Hannah berkata berdasarkan penilaian teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur keadaan itu turut menjejaskan fungsi asal kolam takungan banjir serta menyukarkan kerja-kerja penyelenggaraan dan akses jentera selain meningkatkan risiko kejadian banjir kilat di kawasan pembangunan sedia ada.
Sehubungan itu, beliau berkata DBKL tidak akan meluluskan pemberian kebenaran merancang (KM) bagi sebarang permohonan pembangunan di atas kawasan kolam takungan banjir sehingga syarat-syarat pembangunan yang ditetapkan oleh JPS bagi memastikan fungsi asal kolam dan akses penyelenggaraan dapat dikekalkan.
“Kita tidak boleh terus membenarkan pembangunan atas kolam takungan banjir,” katanya.
Dalam pada itu, Hannah berkata Jabatan Wilayah Persekutuan telah mewujudkan satu pasukan petugas khas dipengerusikan Ketua Pengarahnya yang melibatkan kerjasama penyelarasan semua agensi yang terlibat untuk tindakan mitigasi banjir di Kuala Lumpur termasuk JPS Selangor.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan keupayaan kolam takungan banjir di ibu negara tidak terus terjejas, selain menjamin keselamatan penduduk serta kelestarian sistem saliran bandar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial