PUTRAJAYA, 12 Mei (Bernama) -- Komuniti MADANI perlu menjadi pasukan paling hadapan dalam memahami jerih perih, keluh-kesah dan keresahan rakyat di lapangan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata peranan pasukan itu bukan sekadar menyediakan laporan sebaliknya perlu memahami realiti sebenar masyarakat setempat dan membantu melaksanakan intervensi yang diperlukan.
"Baru-baru ini, ada isu yang mungkin Komuniti MADANI perlu turun dan jelaskan... ada yang bertanya tentang diesel individu ataupun BUDI Diesel... ada yang tak tahu… sebelum ini, dah berikan bantuan tunai RM200 tetapi telah ditingkatkan pada 21 April yang lepas menjadi RM400.
"Seorang peniaga yang menjual pisang di pasar, dia tanya macam mana nak dapat… jadi, maksudnya Komuniti MADANI perlu dilengkapkan dengan maklumat supaya mereka boleh membantu komuniti setempat untuk mendapat akses kepada bantuan-bantuan seperti ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bulan Mei 2026 di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.
Fahmi turut meminta Komuniti MADANI berperanan sebagai pasukan yang mampu melakukan intervensi dan melaksanakan program bersesuaian mengikut keperluan rakyat setempat.
Komuniti MADANI di bawah Jabatan Penerangan Malaysia ialah badan sukarela pelbagai kaum bertujuan memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan dalam kalangan rakyat.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak sentiasa selamat ketika menggunakan Internet termasuk memasang kawalan ibu bapa pada aplikasi dan peranti digital.
Fahmi berkata ibu bapa juga perlu melarang anak-anak berumur bawah 16 tahun daripada berkomunikasi dengan individu dewasa menerusi mesej langsung atau direct message (DM) di media sosial.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan persekitaran digital yang lebih sihat dan selamat khususnya untuk kanak-kanak serta remaja.
“Kalau ibu bapa boleh mendidik anak-anak mereka dan juga meletakkan tetapan kawalan ibu bapa dalam aplikasi dan peranti mereka, ini akan dapat memastikan satu persekitaran digital yang lebih sihat dan selamat terutama untuk kanak-kanak bawah usia 16 tahun,” katanya.
Fahmi berkata demikian susulan kes membabitkan seorang remaja perempuan berumur 15 tahun yang menjadi mangsa jenayah seksual seorang lelaki dewasa yang dikenali menerusi TikTok.
Beliau juga berkata pendedahan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berhubung penahanan 69 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti pedofil menerusi Operasi Cyber Guardian 2026 seharusnya membuka mata semua pihak mengenai ancaman jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak.
“Kita mahukan bukan hanya Internet yang laju, murah dan meluas tetapi paling penting, Internet yang lebih selamat terutama untuk kanak-kanak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial