KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Maxis memperluaskan tawaran bagi Maxis Home Solar dengan memperkenalkan pembelian secara terus, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada isi rumah di Malaysia menggunakan tenaga boleh diperbaharui dan mengurus kos elektrik.
Dalam kenyataan, Maxis memaklumkan pilihan baharu itu melengkapkan pelan langganan yang dilancarkan pada 2025 dan direka untuk pemilik rumah yang mahu memiliki sepenuhnya sistem solar mereka bagi memaksimumkan nilai pelaburan jangka panjang.
Menurut kenyataan itu, pelanggan yang memilih pelan pembelian terus dapat menjimatkan bil elektrik bulanan mereka hingga 80 peratus, dengan potensi pulangan pelaburan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
Bagi memudahkan peralihan itu, Maxis menawarkan pelan bayaran mudah tanpa faedah hingga 36 bulan melalui bank rakan kongsi terpilih.
Syarikat itu turut memaklumkan pelanggan yang mendaftar bagi pelan pembelian terus sebelum 31 Mei ini, akan menerima hingga lima tahun penyelenggaraan percuma, insurans dan pemantauan terhadap prestasi solar, meliputi perlindungan terhadap kerosakan tidak disengajakan pada komponen sistem PV solar seperti panel dan inverter.
Tawaran terbaharu oleh Maxis itu adalah selaras dengan Program Peralihan Tenaga Solar yang Diperkukuhkan (Solar ATAP) oleh kerajaan, yang menggalakkan isi rumah meningkatkan tahap sara diri tenaga serta mengurangkan kesan turun naik harga elektrik.
Pengarah Maxis Green Solutions Sdn Bhd Patrick Er berkata tawaran tersebut dibangunkan dengan memberi jaminan jangka panjang kepada pelanggan.
“Kami percaya Maxis Home Solar menawarkan lebih daripada sekadar penjimatan bil elektrik. Dengan kos tenaga hari ini yang berubah-ubah dan cuaca yang tidak menentu, pelanggan memerlukan lebih daripada sekadar penyelesaian, mereka memerlukan jaminan,” katanya.
Patrick berkata syarikatnya komited memastikan pelaburan pelanggan itu dapat berfungsi secara optimum untuk tempoh 20 tahun akan datang, justeru tawaran tersebut turut merangkumi insurans komprehensif dan sokongan berterusan bagi memberikan ketenangan fikiran serta penjimatan jangka panjang.
Maxis, yang diiktiraf sebagai antara 10 jenama paling dipercayai di negara ini menerusi Ipsos Trust Track 2025, menyediakan sokongan menyeluruh untuk perkhidmatan solar termasuk pemasangan, jaminan dan pemantauan prestasi sistem 24 jam.
Untuk maklumat lanjut mengenai pelan Maxis Home Solar atau untuk mendapatkan konsultasi percuma, layari https://www.maxis.com.my/en/about-maxis/solar/.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial