NEW YORK, 12 Mei (Bernama-Xinhua) -- Situasi kemanusiaan di Lubnan terus merosot meskipun gencatan senjata dilaksanakan, dengan serangan ke atas lokasi berkaitan kesihatan serta pembunuhan petugas paramedik masih berlaku, menurut pegawai kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin, lapor Xinhua.
Lebih 100 serangan dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, manakala 87 orang terkorban sepanjang hujung minggu, menurut Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
Sekurang-kurangnya 2,846 orang maut dan 8,693 yang lain cedera sejak peningkatan permusuhan antara Israel dan Hizbullah pada 2 Mac, menurut OCHA yang memetik angka daripada Kementerian Kesihatan Awam Lubnan.
Pada Isnin, kementerian itu melaporkan dua petugas paramedik terkorban dan beberapa yang lain cedera dalam serangan udara yang menyasarkan lokasi berkaitan kesihatan di bandar Qalaway dan Tibnin di selatan Lubnan.
Menurut OCHA, petugas paramedik itu sedang memberi bantuan susulan insiden terdahulu.
Sejak peningkatan konflik bermula, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan 158 serangan terhadap kemudahan penjagaan kesihatan, mengakibatkan 108 kematian dan 249 kecederaan.
“PBB mengulangi bahawa serangan terhadap petugas kemanusiaan dan perubatan tidak boleh diterima serta terus menjejaskan sistem kesihatan yang sudah terbeban dan akses kepada rawatan kecemasan untuk orang awam,” menurut OCHA.
Tiga hospital dan 41 pusat penjagaan kesihatan primer masih ditutup, manakala beberapa lagi hanya beroperasi sebahagiannya.
Di wilayah selatan, enam hospital masih belum menyambung semula perkhidmatan bersalin yang digantung semasa peningkatan konflik, menurut pejabat itu.
Sepanjang hujung minggu, Israel mengeluarkan semula arahan perpindahan bagi beberapa bandar dan kampung di selatan Lubnan serta wilayah Nabatieh, menyebabkan pemindahan paksa baharu sekali gus menambah tekanan terhadap pusat perlindungan sementara dan komuniti yang menempatkan penduduk yang terpaksa berpindah, kata OCHA.
"Rakan kongsi kesihatan menyatakan bahawa penduduk yang kehilangan tempat tinggal, termasuk kumpulan paling rentan seperti wanita hamil, sering berdepan akses terhad kepada makanan yang mencukupi dan pelbagai, sekali gus meningkatkan risiko kesihatan,” katanya.
Menurut OCHA, rakan kemanusiaan terus menyalurkan bantuan dan perkhidmatan kritikal dengan kerjasama rapat kerajaan Lubnan meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Menurut OCHA lagi, setakat ini rakan kongsi kesihatan telah membantu lebih 585 kemasukan ke hospital, memberikan lebih 18,000 dos vaksin menerusi pusat penjagaan kesihatan primer serta menyediakan lebih 4,300 konsultasi penjagaan pranatal.
Selain itu, rakan kongsi dalam keselamatan makanan telah mengagihkan lebih 8.4 juta hidangan makanan, katanya.
Bagaimanapun, keperluan kemanusiaan terus melebihi sumber sedia ada, dengan hanya 41 peratus daripada rayuan kilat bernilai US$308 juta bagi tempoh Mac hingga akhir Mei berjaya dibiayai, menurut OCHA.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial