BANDAR GAZA, 12 Mei (Bernama-Anadolu) -- Hamas pada Selasa memberi amaran tentang "akibat buruk" susulan undang-undang baharu Israel yang menubuhkan mahkamah tentera khas untuk anggota kumpulan itu dan memberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman mati, menyifatkan langkah itu sebagai "peningkatan berbahaya" dan "jenayah baharu" terhadap tahanan Palestin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Knesset (Parlimen Israel) meluluskan undang-undang itu pada petang Isnin selepas meluluskannya dalam bacaan kedua dan ketiga.
Langkah itu membenarkan penubuhan mahkamah tentera khas untuk anggota "pasukan elit" Hamas.
Undang-undang itu "mendedahkan sifat pendendam dan rasis sistem pendudukan," menurut Hamas dalam satu kenyataan.
Ia memberi amaran bahawa perundangan itu mewakili "peningkatan berbahaya dan satu lagi jenayah baharu yang ditambah ke dalam rekod jenayah perang serta pencabulan sistematik pihak pendudukan terhadap rakyat kami."
"Kerajaan Israel berusaha melalui undang-undang ini menghalalkan pembunuhan tahanan dan mengubah mahkamah menjadi alat dendam serta penganiayaan," katanya.
Hamas menyatakan bahawa "kuasa luar biasa" bagi mahkamah tentera dalam undang-undang itu dan kebenarannya untuk melangkau peraturan prosedur serta keterangan mencerminkan tindakan Israel yang membelakangi "standard keadilan dan perbicaraan yang saksama."
Pada Ahad, Menteri Kehakiman Israel Yariv Levin berkata undang-undang itu akan memberikan kuasa penuh untuk mengarahkan hukuman mati.
Undang-undang berkenaan membentuk "pencabulan ketara terhadap semua undang-undang dan konvensyen antarabangsa, terutamanya Konvensyen Geneva dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa," kata Hamas.
Hamas memberi amaran bahawa perundangan itu juga mencerminkan percubaan Israel "untuk mengelak daripada sebarang tawaran pertukaran tahanan pada masa hadapan" dengan mengecualikan secara jelas tahanan yang ditangkap selepas perang Israel ke atas Gaza daripada sebarang perjanjian pembebasan, sambil menyifatkannya sebagai "pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan norma kemanusiaan."
Kumpulan itu menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) serta organisasi hak asasi manusia dan kemanusiaan antarabangsa untuk bertindak segera bagi menghentikan undang-undang itu dan menuntut tanggungjawab daripada pemimpin Israel atas "jenayah berterusan mereka" terhadap tahanan Palestin.
Anadolu yang memetik Yedioth Ahronoth sebagai berkata undang-undang itu akan membentuk asas undang-undang bagi perbicaraan yang belum pernah berlaku sebelum ini, yang terbesar dan paling penting di Israel sejak perbicaraan Adolf Eichmann, seorang pegawai Nazi yang diculik oleh Israel di Argentina pada 1961 dan dihukum mati pada 1962.
Israel mendakwa yang warga Palestin yang ditahan semasa serangan Gaza adalah anggota Hamas. Mereka masih belum dibicarakan sehingga kini.
Tentera Israel membunuh lebih 72,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan lebih 172,000 yang lain dalam serangan dua tahun ke atas Gaza sejak Oktober 2023.
Lebih 9,600 tahanan Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, ditempatkan di penjara Israel, yang mereka menghadapi penyeksaan, kebuluran dan pengabaian perubatan yang membawa kepada kematian puluhan orang, menurut laporan hak asasi Israel dan Palestin.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial