AM

Pendaratan Ikan Stabil, Pulau Silikon Tidak Jejas Tangkapan Nelayan

13/05/2026 11:42 AM

GEORGE TOWN, 13 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyangkal dakwaan pembangunan projek Pulau Silikon menjejaskan sektor perikanan, sebaliknya pendaratan ikan oleh nelayan di kawasan Teluk Kumbar dan Batu Maung menunjukkan trend yang stabil.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan negeri Datuk Rashidi Zinol berkata jumlah pendaratan ikan diisytiharkan pada 2023 ialah 472.44 tan dan meningkat sebanyak 496.57 tan pada 2025.

“Perbandingan data ini secara jelas menunjukkan tiada pengurangan atau peningkatan yang ketara dalam hasil tangkapan, sekali gus menyangkal dakwaan pembangunan itu telah menjejaskan sektor perikanan di kawasan berkenaan.

“Berdasarkan tinjauan di lapangan dan sesi libat urus, pendapatan nelayan didapati bersifat dinamik dan dipengaruhi pelbagai faktor luar seperti cuaca, musim dan harga pasaran. Malah maklum balas diperoleh menunjukkan nelayan di kawasan projek Pulau Silikon tidak mengalami keadaan tiada tangkapan hasil laut akibat kerja itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini bagi menjawab soalan Mohamad Shukor Zakariah (PN-Pulau Betong) mengenai nasib nelayan akibat pembangunan dan kos operasi yang meningkat serta status pembayaran pampasan berikutan pembangunan Pulau Silikon.

Rashidi berkata kerajaan negeri tidak memberikan pampasan kerana tiada nelayan atau orang perseorangan yang perlu dipindahkan bagi kerja tambakan Pulau Silikon selain nelayan juga tidak terhalang ke laut sepanjang pelaksanaan projek.  

Mengenai bayaran ex-gratia di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk     Pengimbangan Ekologi (PEOM), beliau berkata semua 795 nelayan yang berdaftar dan layak telah diberikan RM11.85 juta bayaran itu sehingga kini.

“Kerajaan negeri juga meningkatkan keupayaan operasi nelayan melalui pemberian bot lebih besar dan enjin berkuasa tinggi, bertujuan membolehkan nelayan meneroka kawasan tangkapan lebih luas yang berpotensi meningkatkan hasil pendapatan mereka,” katanya.

Pulau Silikon yang berkeluasan 930.78 hektar ialah projek penambakan milik Pulau Pinang yang dibangunkan kerajaan negeri untuk menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan