AM

Mohamad Hasan Sertai Mesyuarat Menteri-menteri Luar BRICS Di New Delhi Pada 14-15 Mei

13/05/2026 03:37 PM

Daripada Mohd Khairi Idham Amran

NEW DELHI, 13 Mei (Bernama) -- Penyertaan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam mesyuarat Menteri-Menteri Luar BRICS di sini selama dua hari bermula esok, selari dengan kepentingan negara untuk memperkukuh daya tahan ekonomi.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Muzafar Shah Mustafa berkata selain itu ia juga mencerminkan komitmen Malaysia untuk mempercepat transformasi digital dan menggalakkan  pembangunan mampan.

“Selaras dengan aspirasi untuk menjadi Negara Anggota BRICS, Malaysia akan terus melibatkan diri secara konstruktif dalam BRICS bagi mengukuhkan jalinan kerjasama dalam sektor berkepentingan,” katanya kepada pemberita pada sesi taklimat mengenai mesyuarat itu, di sini, hari ini.

Muzafar Shah berkata mesyuarat itu adalah platform persediaan utama menjelang sidang kemuncak pemimpin BRICS yang akan berlangsung pada September ini di New Delhi.

Beliau berkata pada mesyuarat berkenaan, Mohamad dijadual menyampaikan kenyataan negara dalam dua sesi utama bertemakan “BRICS at 20: Building for Resilience, Innovation, Cooperation and Sustainability” serta “Reforms of Global Governance and Multilateral System”.

“Malaysia akan menekankan komitmen terhadap multilateralisme, pembangunan mampan, kerjasama ekonomi yang inklusif dan reformasi tadbir urus global serta kepentingan memperkukuh suara Global South,” katanya.

Beliau berkata semasa mesyuarat tersebut, Mohamad juga akan mengambil peluang untuk berkongsi pandangan mengenai isu global utama, termasuk perdagangan, rantaian bekalan, keterjaminan tenaga, pendigitalan dan tindakan iklim.

Selain itu, katanya, Mohamad juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri India Narendra Modi serta mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya, antaranya dari Cuba, Rusia dan India, bagi membincangkan isu berkepentingan bersama.

“Penyertaan dalam mesyuarat ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap dasar luar yang berprinsip, seimbang dan pragmatik, di samping memperkukuh peranan Malaysia sebagai kuasa pertengahan yang proaktif dalam membentuk sistem global yang lebih inklusif, stabil dan mampan,” katanya.

Muzafar Shah berkata penyertaan Malaysia dalam BRICS juga membuka peluang untuk meneroka kerjasama dalam bidang teknologi, tenaga, keterjaminan makanan serta agenda perubahan iklim.

BRICS merupakan sebuah organisasi antara kerajaan yang pada asalnya terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Sejak 2024, keanggotaan BRICS diperluas untuk merangkumi Emiriah Arab Bersatu, Ethiopia, Indonesia, Iran dan Mesir, manakala Malaysia, bersama-sama dengan Belarus, Bolivia, Cuba, Kazakhstan, Thailand, Uganda dan Uzbekistan menjadi Negara Rakan BRICS bermula 1 Jan, 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan