SUKAN

Tang Jie-Ee Wei, Bonnie Atlet Terbaik SAM-100PLUS 2025

13/05/2026 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) --Gandingan beregu campuran badminton negara Chen Tang Jie–Toh Ee Wei yang mencipta sejarah sebagai pasangan pertama Malaysia bergelar juara dunia dinobatkan sebagai Atlet Terbaik pada Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025.

SAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasangan ranking keempat dunia itu menewaskan empat calon lain iaitu ratu wushu negara Tan Cheong Min, Emma Firyana Saroji (boling padang), Muhd Rafiq Ismail (tenpin boling) dan Mohd Abdul Latif Maxzakir (silat).

Kejayaan itu sekali gus menambah satu lagi pencapaian bersejarah buat Chen Tang Jie–Toh Ee Wei apabila menjadi beregu campuran pertama serta gandingan ketiga dari sukan badminton yang meraih anugerah berprestij berkenaan selepas pasangan lelaki Cheah Soon Kit–Yap Kim Hock (1995, 1996) dan Koo Kien Keat–Tan Boon Heong (2006).

Toh Ee Wei ketika ditemui selepas majlis penganugerahan di sebuah hotel di ibu negara berkata, mereka amat bersyukur atas pengiktirafan yang diterima.

“Kami bersyukur atas anugerah ini. Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan. Kami mohon maaf jika ada kekurangan. Apa yang kami lakukan ini adalah untuk Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, beberapa jaguh badminton lain turut pernah merangkul gelaran Atlet Terbaik SAM-100PLUS iaitu Datin Wong Mew Choo (2007) dan Datuk Lee Chong Wei (2008).

Sementara itu, jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai Atlet Para Terbaik selepas kejayaan cemerlang di Kejohanan Powerlifting Dunia 2025 di Kaherah, Mesir, sekali gus merangkul gelaran juara dunia buat kali keempat berturut-turut.

“Anugerah ini memberi motivasi untuk saya terus berusaha pada masa akan datang,” katanya.

Ini merupakan kali keempat Bonnie meraih pengiktirafan berkenaan, menyamai rekod jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang sebagai penerima terbanyak anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS dengan empat kemenangan.

Pemenang anugerah menerima trofi dan wang tunai RM10,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Tafiq Johari.

Selain pengiktirafan kepada atlet, SAM turut meraikan pengamal media yang banyak menyumbang kepada pembangunan sukan negara menerusi pelbagai kategori, termasuk Anugerah Siebel yang dimenangi wartawan senior Astro Muhammad Rizal Hashim yang turut mengungguli kategori Laporan Khas Terbaik (Terbuka).

Anugerah Pengulas Sukan Popular edisi keempat menjadi milik Izwan Mohd Nor (Astro Arena) selepas memperoleh 173,336 undian, menewaskan pencabar terdekat dari RTM Aizuddin Nizam yang meraih 14,330 undi.

Antara kategori lain yang dipertandingkan ialah Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Wartawan Bernama, Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif dan Muhammad Zulkarnain Mohd Azman turut tersenarai masing-masing dalam kategori Laporan Berita Terbaik (Media Cetak) dan Laporan Khas Terbaik (Terbuka).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan