GEORGE TOWN, 13 Mei (Bernama) -- Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) telah melaksanakan persampelan semula di Sungai Kuala Juru, Bukit Mertajam hari ini bagi tujuan pemantauan terhadap parameter kritikal termasuk biotoksin, logam berat dan status kualiti air.
JPNPP dalam kenyataan memaklumkan tindakan segera itu berikutan laporan berkaitan pencemaran dan gangguan kualiti air di kawasan Sungai Kuala Juru yang berpotensi menjejaskan sektor perikanan serta akuakultur marin di kawasan tersebut.
“Tindakan ini bertujuan memastikan keselamatan hasil perikanan dan menyokong pelaksanaan analisis trend pencemaran yang lebih menyeluruh serta berasaskan data.
“Kawasan Sungai Kuala Juru merupakan antara zon pengeluaran hasil laut penting di Pulau Pinang dengan ternakan kerang seluas 567 hektar melibatkan 27 lot ternakan aktif,” menurut kenyataan hari ini.
JPNPP juga mengambil kira kebajikan 209 nelayan marin dan pengusaha akuakultur yang terkesan akibat gangguan terhadap aktiviti serta hasil pengeluaran mereka.
Menurut kenyataan itu, pemantauan turut dijalankan terhadap tujuh pengusaha ternakan ikan siakap dan udang putih dengan keluasan keseluruhan 72.69 hektar selain melaksanakan penilaian terperinci untuk mengenal pasti implikasi ekonomi serta anggaran kerugian bagi dokumentasi serta tindakan susulan.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Pulau Pinang Azimah Jumatli berkata JPNPP menumpukan kepada pemantauan di lapangan, penilaian teknikal dan sokongan bantuan yang berterusan bagi mengurangkan impak terhadap sumber pendapatan komuniti nelayan serta penternak.
Beliau berkata tumpuan turut diberikan kepada usaha memastikan persekitaran perairan kembali berada pada tahap selamat dan kondusif supaya aktiviti perikanan dan akuakultur marin dapat diteruskan secara mampan.
“Analisis lanjut turut dijalankan bagi membezakan kemungkinan sumber pencemaran organik daripada pelbagai punca yang berpotensi menjejaskan ekosistem perairan dan analisis makmal juga dijalankan secara menyeluruh bersama Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung serta Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan kualiti air tersebut.
“Analisis lanjut turut dilaksanakan bagi menilai kemungkinan sumber pencemaran organik daripada pelbagai punca yang berpotensi menjejaskan ekosistem perairan,” katanya.
Semalam kira-kira 100 penternak kerang dan nelayan di Kampung Kuala Juru, meluahkan kebimbangan terhadap pencemaran Sungai Juru yang didakwa semakin serius sejak setahun lalu, menyebabkan lebih 50 peratus hasil pendapatan mereka terjejas.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata pencemaran disyaki berpunca daripada pembuangan sisa kilang dan sisa kolam ternakan udang yang menyebabkan kematian kerang serta ikan di sungai itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial