BERITA TERGEMPAR   Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | 
 JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Kebakaran Terbuka Lonjak Perbelanjaan Bomba Kelantan

14/05/2026 10:12 AM

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri dan Rohaiza Ab. Rahman

KOTA BHARU, 14 Mei (Bernama) -- Peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka di Kelantan sejak awal Mac lepas menyebabkan kos operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri itu melonjak, termasuk penggunaan diesel yang mencecah RM217,000 pada April lepas.

Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata lazimnya penggunaan bahan api jabatan itu dianggarkan antara RM45,000 hingga RM60,000 sebulan, namun meningkat ketara susulan operasi pemadaman kebakaran terbuka yang semakin kerap berlaku sepanjang musim kering ketika ini.

“Pada Mac lepas, penggunaan diesel meningkat kepada RM120,000 dan pada April pula mencecah RM217,000.

“Peningkatan ini selari dengan pertambahan kes kebakaran terbuka yang berlaku di seluruh negeri,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata pada April lepas, JBPM Kelantan menerima lebih 2,000 panggilan melibatkan kebakaran terbuka, berbanding hanya 199 panggilan direkodkan sepanjang tahun lepas.

Daripada jumlah itu, kebakaran belukar merekodkan jumlah tertinggi, iaitu sebanyak 1,575 kes, diikuti kebakaran hutan (238), sampah (99) dan kebun (37).

Beliau berkata kebanyakan kebakaran dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran bagi tujuan pembersihan kawasan serta pembukaan tanah pertanian sebelum api merebak ke kawasan lain.

“Daripada pemerhatian dan pengalaman operasi kami, kebanyakan kebakaran ini berpunca daripada perbuatan manusia dan bukannya faktor semula jadi,” katanya.

Antara daerah paling terjejas ialah Kota Bharu dengan 522 kes, diikuti Bachok (357) dan Pasir Mas (252).

Beliau berkata kebakaran melibatkan kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah adalah antara paling mencabar kerana mengambil masa lama untuk dipadam, selain memerlukan penggunaan air serta aset.

“Kita pernah mengambil masa hingga 10 hari untuk memadam kebakaran tanah gambut dan lapan hari bagi kebakaran tapak pelupusan sampah di Tanah Merah melibatkan kawasan seluas 40 ekar,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu turut menyebabkan JBPM terpaksa menggerakkan anggota dan aset tambahan termasuk menggunakan sumber daripada balai lain bagi menangani kawasan hotspot.

Selain itu, pihaknya berdepan cabaran akses ke lokasi kebakaran selain kekurangan sumber air, terutama di kawasan Bachok dan Kota Bharu sehingga memerlukan hos ditarik sejauh satu hingga dua kilometer.

Beliau berkata peningkatan kos operasi akibat kebakaran terbuka amat mendukacitakan kerana peruntukan itu sepatutnya boleh digunakan untuk meningkatkan aset serta kapabiliti jabatan.

“Disebabkan kecuaian manusia, kita terpaksa membelanjakan peruntukan besar untuk kerja pemadaman kebakaran terbuka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata JBPM Kelantan kini mahu pendekatan penguatkuasaan dipertingkatkan termasuk tindakan kompaun terhadap individu yang melakukan pembakaran terbuka, memandangkan kempen kesedaran sahaja dilihat tidak lagi mencukupi.

JBPM turut bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan dan Polis Diraja Malaysia dalam usaha membendung aktiviti pembakaran terbuka di negeri itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan