| BERITA TERGEMPAR | Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | |
KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- ESGright Sdn Bhd dilantik sebagai Rakan Pendidikan Bertauliah pertama di Malaysia bagi Kelayakan Asas Perakaunan Kelestarian (FSA) oleh Yayasan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS).
Dalam satu kenyataan hari ini, firma latihan dan penasihat kelestarian tempatan itu berkata dengan pelantikan berkenaan, ia menjadi penyedia Kelayakan FSA Yayasan IFRS bagi Tahap 1 dan Tahap 2.
Kelayakan FSA merupakan kelayakan yang diiktiraf secara global dan memberi tumpuan kepada pendedahan kewangan berkaitan kelestarian.
Melalui akreditasi ini, ESGright kini diberi kuasa untuk menyampaikan program pensijilan FSA yang direka bagi melengkapkan golongan profesional korporat, pelabur, juruaudit, perunding dan pengamal kelestarian.
"Ia juga melengkapkan golongan profesional dengan pengetahuan serta kecekapan praktikal dalam pendedahan kewangan berkaitan kelestarian yang selaras dengan piawaian Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB),” katanya
Perunding utama ESGright, Prathab V berkata pelantikan tersebut menandakan pengiktirafan besar bagi firma itu yang juga baru-baru ini diiktiraf oleh Inisiatif Pelaporan Global (GRI) sebagai penyedia latihan kelima terbesar di dunia dan ketiga terbesar di Asia Pasifik pada 2025.
Malaysia kini mempunyai 95 profesional yang diperakui FSA, satu jumlah yang dijangka berkembang pesat di tengah-tengah peningkatan permintaan terhadap pelaporan kelestarian yang lebih jelas dan tepat.
Susulan itu, firma berkenaan akan melancarkan program latihan FSA miliknya mulai Julai tahun ini, katanya.
Program tersebut akan membantu memperkukuh keupayaan profesional dan perniagaan di Malaysia untuk melaksanakan piawaian pelaporan kelestarian yang diiktiraf di peringkat global serta menyepadukan pertimbangan kelestarian ke dalam proses membuat keputusan kewangan.
Memandangkan Malaysia sedang mempercepat usaha untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi yang mampan dan menarik pelaburan hijau, ESGright mengorak langkah penting bagi memantapkan pembinaan kecekapan kelestarian serta pensijilan profesional berkaitan kelestarian di negara ini.
“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 penerbit tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat besar yang tidak tersenarai memandangkan organisasi kini berusaha untuk melaporkan pematuhan mengikut Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF) serta tuntutan pelabur global,” katanya.
NSRF diperkenalkan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada September 2024 yang merupakan rangka kerja pelaporan kelestarian yang mandatori berasaskan pendekatan mengutamakan iklim yang selaras dengan piawaian ISSB.
Firma berkenaan melatih hampir 300 peserta sejak 2023 ke arah pensijilan profesional GRI.
Setakat ini, Malaysia mempunyai 160 profesional yang diperakui GRI iaitu jumlah tertinggi di rantau ASEAN.
“Kami memainkan peranan yang besar dalam meningkatkan kesedaran serta penggunaan piawaian GRI di Malaysia dan kami menyasarkan untuk melakukan perkara yang sama bagi ISSB,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial