| BERITA TERGEMPAR | Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | |
KOTA TINGGI, 14 Mei (Bernama) -- Polis menahan tiga ahli sindiket penyeludupan migran yang dipercayai aktif sejak Mac lepas bersama 10 warga Indonesia dalam satu serbuan di kawasan semak Tanjung Balau, Bandar Penawar, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata operasi pada 6.45 petang itu bermula apabila sepasukan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan memasuki kawasan semak tersebut.
Beliau berkata polis telah menghampiri kereta berkenaan dan semasa pemeriksaan dijalankan, pemandu kenderaan bertindak memecut laju dalam cubaan untuk melarikan diri, namun kecekapan anggota polis berjaya menahan suspek terbabit.
"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemukan seorang migran yang dirancang untuk dihantar pulang ke Indonesia melalui jalan tidak diwartakan. Susulan tangkapan itu, polis telah melakukan pemeriksaan lanjut di kawasan semak berhampiran yang membawa kepada penemuan lapan lelaki dan tiga wanita warga Indonesia sedang bersembunyi.
"Hasil soal siasat awal, kesemua migran mengaku ingin pulang ke Indonesia melalui jalan tidak diwartakan dengan diuruskan dua orang penjaga rumah penampungan sementara yang turut ditahan semasa kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata kesemua suspek berusia 18 hingga 54 tahun itu dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan migran diminta menghubungi hotline IPD Kota Tinggi di talian 07-8831222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial