DUNIA

Itali Tegaskan Usaha Pulihkan Kestabilan Di Selat Hormuz

14/05/2026 11:44 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Itali menyatakan kesediaan untuk menyertai pakatan pertahanan antarabangsa bagi memulihkan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz sebaik sahaja konflik semasa berakhir, kata Menteri Luar Itali Antonio Tajani.

Beliau berkata sejak tercetusnya permusuhan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS), Itali bekerjasama rapat dengan rakan Eropah, G7 dan pertubuhan pelbagai hala bagi mendesak penghentian permusuhan serta pembukaan semula selat berkenaan.

“Dalam misi pelbagai negara yang akan dilancarkan di Selat Hormuz, Itali boleh menyumbang kepada operasi pembersihan periuk api dan keselamatan pelayaran komersial.

“Sekatan itu bukan sekadar isu serantau, tetapi gangguan besar kepada ekonomi global yang akan menjejaskan keselamatan tenaga, daya saing industri dan keseimbangan ekonomi antarabangsa,” kata Tajani dalam satu rencana yang dikongsi Kedutaan Itali di Kuala Lumpur kepada Bernama.

Selat Hormuz merupakan laluan maritim strategik untuk perdagangan global, dengan kira-kira 20 peratus minyak dunia, satu perempat eksport gas asli cecair (LNG) dan bahan mentah penting melalui perairan itu.

Walaupun eksport Itali meningkat 3.3 peratus pada 2025 di sebalik kelembapan perdagangan global, Tajani berkata kenaikan harga tenaga dan ketidaktentuan keselamatan di laluan perdagangan sudah mula menjejaskan isi rumah serta perniagaan di Eropah.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan gangguan itu ke atas negara yang mudah terjejas di Afrika dan rantau Mediterranean yang lebih luas.

Tajani memberi amaran bahawa gangguan berterusan boleh mengurangkan pengeluaran pertanian, mencetuskan inflasi dan memburukkan krisis seperti kebuluran yang sedang berlaku di Sudan, memandangkan kira-kira 30 peratus eksport baja dunia melalui selat itu.

Sebagai tindak balas terhadap krisis berkenaan, beliau berkata Itali dan Croatia mengadakan mesyuarat pada awal Mei bersama Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) serta 30 negara dari Mediterranean, Asia Barat dan Balkan bagi melancarkan “Gabungan Rom untuk Keselamatan Makanan dan Akses kepada Baja”.

Forum itu bertujuan mengenal pasti penyelesaian segera dan praktikal terhadap krisis berkenaan.

Tajani berkata walaupun krisis Hormuz mencerminkan konflik lebih luas yang berpunca daripada ketegangan berdekad-dekad melibatkan AS, Israel dan Iran, diplomasi kekal sebagai satu-satunya jalan yang berdaya maju.

Beliau turut menegaskan komitmen Itali untuk bekerjasama dengan rakan antarabangsa serta menyokong rundingan melalui perantaraan Pakistan bagi memastikan saluran diplomatik terus terbuka.

“Pada masa sama, Rom mengekalkan saluran langsung dengan rakan serantau di Teluk yang dianggap sebagai pihak penting bagi sebarang penyelesaian diplomatik berkekalan dan pemulihan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz pada masa depan,” katanya.

Mengenai kestabilan lebih luas di Asia Barat, Tajani berkata keamanan berkekalan tidak boleh dicapai tanpa kestabilan di Lubnan.

Beliau berkata kerajaan Itali menyokong dialog dengan perantaraan AS antara Israel dan Beirut, selain menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah rundingan langsung antara pihak terbabit.

“Itali juga bekerjasama dengan Lubnan dan AS dalam inisiatif memperkukuh keupayaan pasukan keselamatan Lubnan, khususnya bagi memerangi pengubahan wang haram dan penyeludupan haram.

“Washington dan Brussels semakin melihat Rom sebagai aktor penting dalam usaha memperkukuh institusi negara di Beirut, isu yang turut saya bangkitkan ketika pertemuan baru-baru ini di Farnesina dengan Menteri Luar Lubnan,” katanya.

Beliau berkata Itali juga terus memantau rapat perkembangan di Gaza dan Wilayah Palestin, di samping memperjuangkan penyelesaian dua negara.

Tajani berkata Rom baru-baru ini menerima 72 pelajar Palestin menerusi biasiswa universiti sebagai pelaburan terhadap masa depan kepimpinan Palestin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan