EKONOMI

Malaysia Perkukuh Kerjasama Dengan India Dalam Sektor Semikonduktor Dan Tenaga Boleh Baharu

14/05/2026 10:39 PM

Daripada Mohd Khairi Idham Amran

NEW DELHI (India), 14 Mei (Bernama) -- Malaysia berhasrat untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan India merentasi beberapa sektor berpotensi tinggi, termasuk semikonduktor, tenaga boleh baharu, pembangunan sumber manusia dan pelancongan, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Muzafar Shah Mustafa.

Beliau berkata kepentingan India yang semakin meningkat dalam landskap ekonomi global memberikan peluang yang besar kepada Malaysia untuk mempertingkat kerjasama dua hala dan serantau dengan negara Asia Selatan itu.

India dijangka akan beralih daripada kedudukan semasa sebagai ekonomi keempat terbesar kepada ketiga dalam beberapa tahun akan datang.

“Justeru, saya berpendapat terdapat banyak potensi untuk kita memperkukuh kerjasama kita dengan India dari segi perdagangan serantau dan juga perdagangan dua hala kita dengan India,” katanya kepada pemberita dalam satu taklimat, di sini semalam.

Beliau berkata India dijangka muncul sebagai pemain dominan dalam hal ehwal global, menjadikannya semakin penting bagi Malaysia untuk mengembangkan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama.

“Tidak syak lagi, India akan menjadi kuasa sangat dominan dalam hal ehwal global. Jadi saya berpandangan terdapat banyak potensi, kita perlu melihat pelbagai bidang, bukan sahaja ekonomi tetapi juga bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama dengan India,” katanya.

Muzafar Shah berkata hubungan dua hala antara Malaysia dan India telah memasuki fasa baharu susulan peningkatan hubungan daripada Perkongsian Strategik yang Dipertingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2024.

Beliau berkata kedua-dua negara telah menandatangani pelbagai memorandum persefahaman (MOU) semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India, serta lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi ke Malaysia.

“Bagi pandangan saya, kita (Malaysia) telah menandatangani pelbagai MOU semasa lawatan perdana menteri ke India, serta lawatan Modi ke Malaysia.

“Kita mahu meningkatkan hubungan dengan India menerusi pelaksanaan pelbagai MOU yang telah kita tandatangani kerana ia merangkumi banyak bidang kepentingan antara Malaysia dan India,” katanya.

India merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah AS$18.59 bilion (AS$1=RM3.93) pada 2025, melonjak daripada AS$18.25 bilion pada 2024.

Eksport Malaysia ke India berjumlah AS$12.24 bilion, manakala import dari India berjumlah AS$6.35 bilion, menghasilkan lebihan perdagangan sebanyak AS$5.9 bilion.

Selain itu, eksport utama Malaysia ke India termasuk minyak sawit dan produk berasaskan sawit, barangan elektrik dan elektronik, produk logam, bahan kimia, dan jentera serta peralatan, manakala import utamanya dari India termasuk produk pertanian, produk petroleum, bahan kimia, produk logam, dan barangan elektrik dan elektronik.

Jumlah dua hala pelaburan antara Malaysia dan India mencecah AS$5.6 bilion dengan syarikat dari Malaysia seperti Petronas, UMW dan Salcon beroperasi di India dan syarikat India seperti HAL beroperasi di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan