AM

Pulau Banggi Berubah Wajah, Daripada Meredah Laut Kepada Kemudahan Moden

15/05/2026 11:26 AM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KUDAT, 15 Mei (Bernama) -- Satu ketika dahulu, penduduk di Pulau Banggi terpaksa meredah laut untuk ke sekolah, bergantung sepenuhnya kepada generator bagi mendapatkan bekalan elektrik serta mendaki kawasan tinggi semata-mata untuk mendapatkan liputan talian telefon.

Kini, pulau terbesar di Malaysia itu semakin menikmati arus pembangunan apabila pelbagai kemudahan infrastruktur asas disediakan, termasuk jalan berturap, perkhidmatan feri, capaian internet serta bekalan elektrik dan air yang lebih baik, sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

Terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari tanah besar Kudat, pulau berkeluasan 621 kilometer persegi itu dihuni kira-kira 30,000 penduduk yang majoritinya bergantung kepada sektor perikanan serta pertanian kelapa sawit dan getah sebagai sumber ekonomi utama.

Keunikan Pulau Banggi turut terserlah menerusi kepelbagaian budaya masyarakatnya yang hidup harmoni, terdiri daripada pelbagai suku kaum termasuk Ubian, Dusun Bonggi, Kegayan, Bajau Samah dan Molbog.

Tinjauan Bernama ke pulau berkenaan baru-baru ini mendapati pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan memberi impak besar terhadap kehidupan harian penduduk, khususnya dari aspek perhubungan, mobiliti, pendidikan dan perkembangan ekonomi setempat.

Komitmen kerajaan membangunkan pulau berkenaan terbukti apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatannya baru-baru ini mengumumkan peruntukan lebih RM31 juta bagi membina serta menaik taraf pelbagai kemudahan termasuk jalan raya, jambatan, jeti, selain aspek kesihatan dan keselamatan.

Bagi penduduk Kampung Laksian, Nurhani Lim, 35, perubahan paling ketara yang dirasainya ialah kemudahan jalan raya dan capaian komunikasi yang jauh lebih baik berbanding ketika beliau membesar di pulau itu.

Beliau berkata ketika berusia 13 tahun, beliau terpaksa menaiki bot kecil berenjin atau ‘pump boat’ hampir sejam untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi yang terletak kira-kira 12.3 km dari kampungnya berikutan ketiadaan jalan darat serta kemudahan pengangkutan.

“Dulu dan sekarang jauh berbeza. Dulu tiada jalan raya, internet tidak memuaskan, elektrik bergantung kepada generator selain sukar mendapat talian sehingga terpaksa mencari isyarat di kawasan tinggi,” katanya.

Menurut Nurhani, walaupun masih terdapat ruang penambahbaikan terutama dari segi kestabilan bekalan elektrik dan capaian internet, perubahan yang dinikmati ketika ini sudah cukup bermakna buat penduduk.

Seorang pengurus kedai runcit, Ahmad Syukrie Abdul Rajik, 35, turut berkongsi pandangan sama apabila menyifatkan pembangunan di pulau itu semakin ketara menerusi kewujudan rangkaian jalan berturap, sistem pengangkutan laut yang lebih tersusun serta kemudahan utiliti yang semakin lengkap.

“Dulu banyak perkara bergantung kepada keadaan laut dan pengangkutan agak terhad. Sekarang pergerakan penduduk dan penghantaran bekalan barang lebih mudah.

“Bagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang boleh dipertingkatkan supaya kemudahan di sini benar-benar setanding dengan kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata bekalan elektrik yang lebih konsisten turut mengubah corak kehidupan penduduk yang sebelum ini hanya bergantung kepada pelita atau generator yang memerlukan kos operasi tinggi kerana penggunaan petrol atau diesel.

Sementara itu, Noratizah Ija, 38, berkata pertambahan jumlah kenderaan di Pulau Banggi menjadikan keperluan terhadap sebuah stesen minyak yang lebih sistematik semakin mendesak.

Katanya ketika ini penduduk masih bergantung kepada pos minyak yang menerima bekalan secara berkala, namun jadual penghantarannya tidak menentu dan adakalanya penduduk perlu menunggu lebih lama sebelum bekalan tiba.

“Ada kalanya seminggu sekali bekalan sampai, tetapi kadang-kadang perlu tunggu lebih lama. Jika terdesak, penduduk terpaksa membeli minyak yang dijual dalam botol di kampung-kampung walaupun harganya boleh mencecah RM7 sebotol,” katanya.

Noratizah berkata kewujudan stesen minyak yang lebih sistematik bukan sahaja melengkapkan pembangunan di pulau itu, malah mampu merancakkan lagi sektor pelancongan memandangkan Pulau Banggi kini semakin mudah dikunjungi pelawat luar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan