AM

Malaysia Seru Kerjasama Lebih Kukuh Dalam Kalangan Negara Anggota, Rakan BRICS

14/05/2026 10:34 PM

Daripada Mohd Khairi Idham Amran

NEW DELHI, 14 Mei (Bernama) -- Malaysia menyeru kerjasama lebih kukuh dalam kalangan negara anggota dan negara rakan BRICS untuk membina orde global yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan di tengah-tengah peningkatan ketegangan geopolitik, kelemahan institusi global dan gangguan rantaian bekalan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kepentingan kerjasama BRICS menjadi semakin signifikan sejak kebelakangan ini ketika dunia berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi dan perubahan realiti geopolitik.

"Dalam keadaan seni bina global yang semakin lemah, peningkatan risiko konflik geopolitik serta pasaran tenaga dan rantaian bekalan global yang tidak stabil, tiada yang lebih penting selain kerjasama ini," katanya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negara Rakan BRICS di sini pada Rabu.

Beliau berkata BRICS, sebagai kumpulan yang mewakili antara ekonomi paling produktif di dunia, berpotensi untuk memperkukuh daya tahan global melalui peningkatan perdagangan dalaman dan pelaburan rentas negara.

"Dengan memanfaatkan kekuatan relatif kita, BRICS mempunyai potensi untuk membentuk rantaian bekalan global utama yang pelbagai, boleh dipercayai dan mampu bertahan menghadapi kejutan global," katanya.

Bagaimanapun, Mohamad berkata daya tahan semata-mata tidak mencukupi kerana fasa pertumbuhan global masa kini semakin dibentuk oleh teknologi dan transformasi digital.

"Infrastruktur awam digital, sistem teknologi kewangan dan kecerdasan buatan (AI) kini sedang mengubah fungsi ekonomi dan cara penyampaian perkhidmatan kerajaan. Namun, tanpa akses yang inklusif, teknologi ini hanya akan memperluas ketidaksamaan, bukannya merapatkan jurang itu," katanya.

Beliau berkata Malaysia melihat nilai dalam kerjasama BRICS yang lebih kukuh berkaitan tadbir urus digital, khususnya dalam bidang AI, infrastruktur digital dan pembangunan kemahiran bagi memastikan kemajuan teknologi memberikan manfaat secara lebih adil kepada semua negara.

Mengenai pembangunan mampan, Mohamad berkata pembiayaan hijau perlu beralih "daripada margin kepada pusat perancangan pembangunan global".

Beliau berkata institusi seperti New Development Bank memainkan peranan penting dalam memastikan pembiayaan yang adil, mudah diakses dan responsif terhadap keperluan negara Selatan Global.

"Tanpa langkah ini, jurang antara cita-cita dengan pelaksanaan hanya akan terus melebar," katanya.

BRICS, yang dianggotai Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Iran, Emiriah Arab Bersatu dan Indonesia, mewakili sebahagian besar populasi dan ekonomi dunia, merangkumi kira-kira 3.87 bilion penduduk atau 48.8 peratus daripada populasi global.

Setakat 2025, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara anggota BRICS diunjurkan mencecah USD32 trilion yang mewakili 28.5 peratus pengeluaran global.

Malaysia, bersama-sama Belarus, Bolivia, Cuba, Kazakhstan, Thailand, Uganda dan Uzbekistan menjadi Negara Rakan BRICS bermula pada 1 Jan 2025, manakala Nigeria memperoleh status sama pada 17 Jan 2025 dan Vietnam pada 13 Jun 2025.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan