EKONOMI

Keuntungan Bersih Johor Plantations Susut Kepada RM50.35 Juta Pada Suku Pertama

15/05/2026 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Johor Plantations Group Bhd (JPG) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM50.35 juta pada suku pertama 2026, berakhir pada 31 Mac 2026 berbanding RM75.92 juta pada suku pertama 2025, kebanyakannya disebabkan oleh harga jualan purata minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit lebih rendah walaupun jumlahnya lebih tinggi.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, JPG memaklumkan bahawa keuntungan bersih yang lebih rendah juga digandingkan dengan kos jualan lebih tinggi terutamanya daripada pembajaan lebih tinggi, pembelian tandan buah segar, penuaian dan pengangkutan, pembaikan dan penyelenggaraan serta kos operasi.

Harga jualan purata MSM dan isirung sawit (PK) merosot, masing-masing sebanyak 14.3 peratus dan 9.5 peratus, walaupun jumlah penghantaran lebih tinggi.

"Walaupun persekitaran harga lebih rendah, JPG terus meraih premium harga berbanding purata penanda aras Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan purata harga jualan MSM dan PK masing-masing pada RM4,260 satu tan metrik dan RM3,529 setan, mengatasi purata MPOB masing-masing sebanyak RM4,152 satu tan dan RM3,396 setan," katanya.

Bagaimanapun, perolehan pada suku pertama 2026 meningkat kepada RM356.69 juta daripada RM340.42 juta pada suku sama sebelumnya, kebanayakannya didorong oleh jualan MSM dan PK yang lebih tinggi.

“Perolehan daripada segmen huluan berkurangan sebanyak 2.8 peratus kepada RM253.16 juta pada suku pertama 2026 berbanding RM260.37 juta dicatatkan pada suku sama, manakala hasil daripada perniagaan tenaga boleh baharu dan perkhidmatan perdagangan serta sokongan menguncup sebanyak 2.6 peratus kepada RM3.65 juta daripada RM3.74 juta sebelumnya.

“Namun, perolehan daripada segmen pertengahan meningkat 26.4 peratus kepada RM113.27 juta daripada RM89.62 juta sebelumnya,” menurut JPG.

Mengenai prospek, JPG memaklumkan bahawa ketidakpastian geopolitik, ditambah pula dengan harga tenaga tinggi, gangguan rantaian bekalan berterusan dan kos pengangkutan serta insurans yang lebih tinggi, terus membentuk persekitaran operasi lebih luas.

“Dalam konteks ini, kumpulan itu kekal fokus pada pengurusan kos yang berdisiplin dan pelaksanaan operasi.

“Sekiranya tiada keadaan luar jangka, kumpulan ini berasa optimis tetapi pada masa sama berhati-hati untuk memberikan prestasi yang berdaya tahan bagi baki tahun kewangan 2026," menurut syarikat itu.

Pengarah Urusan JPG, Mohd Faris Adli Shukery berkata dalam persekitaran ketidakpastian geopolitik dan pasaran yang sentiasa berubah, kumpulan itu kekal fokus pada disiplin operasi, daya tahan rantaian bekalan dan penciptaan nilai jangka panjang.

“Keupayaan kami untuk mencapai harga yang melebihi penanda aras MPOB secara konsisten mencerminkan kualiti operasi bersepadu dan kekuatan pelaksanaan komersial kami.

"Walaupun peningkatan kos tenaga dan logistik terus mempengaruhi persekitaran operasi yang lebih luas, kumpulan sebahagian besarnya terselamat daripada tekanan kos jangka masa terdekat selepas penetapan harga dan bekalan bagi keperluan baja 2026 kami menerusi strategi perolehan proaktif," katanya.

JPG telah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak satu sen sesaham untuk tahun kewangan 2026, mengesahkan semula komitmen kumpulan otu untuk memberikan pulangan pemegang saham yang mampan.

Pembayaran dividen adalah pada 12 Jun, 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan