EKONOMI

Malaysia Catat Pertumbuhan KDNK 5.4 Peratus Pada Suku Pertama 2026 Disokong Permintaan Dalam Negeri Kukuh - BNM

15/05/2026 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, mengatasi anggaran awal sebanyak 5.3 peratus dengan permintaan dalam negeri yang kukuh, aktiviti pelaburan dan eksport terus memacu pertumbuhan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Kadar pertumbuhan, bagaimanapun, sederhana daripada 6.3 peratus dicatatkan pada suku keempat 2025.

BNM memaklumkan perbelanjaan isi rumah kekal berdaya tahan dalam keadaan pasaran tenaga kerja yang menggalakkan dan sokongan dasar yang berterusan manakala aktiviti pelaburan disokong oleh perbelanjaan jentera dan peralatan, pelaburan struktur serta pelaksanaan projek berbilang tahun.

Penggunaan swasta berkembang 4.7 peratus pada suku pertama 2026 manakala pelaburan swasta meningkat 7.8 peratus. Eksport bersih melonjak 13.5 peratus berikutan pertumbuhan eksport yang stabil dan pertumbuhan import yang sederhana lebih cepat.

Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan berkembang 5.6 peratus (S4 2025: 6.2 peratus), disokong oleh perkhidmatan kerajaan dan berkaitan perniagaan manakala sektor pembuatan naik 5.9 peratus (S4 2025: 6 peratus) berikutan pengeluaran E&E yang lebih kukuh didorong oleh permintaan berterusan untuk komponen berkaitan AI.

Sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan yang perlahan sebanyak 2.6 peratus (S4 2026: 5.7 peratus) berikutan pengeluaran minyak sawit yang kembali normal selepas paras pengeluaran yang tinggi sebelum ini manakala sektor perlombongan dan pengkuarian menguncup 2.1 peratus (S4 2025: 1.4 peratus) disebabkan pengeluaran minyak dan gas domestik yang lebih rendah.

Pertumbuhan pembinaan sederhana kepada 7.7 peratus daripada 10.9 peratus sebelum ini dalam aktiviti kediaman dan kejuruteraan awam yang perlahan walaupun aktiviti perdagangan khas dan bukan kediaman terus memberi sokongan.

Menurut BNM, Malaysia mencatatkan lebihan akaun semasa yang lebih besar sebanyak RM15.2 bilion pada suku pertama 2026 berbanding RM2.7 bilion pada suku tahun sebelumnya didorong oleh lebihan barangan yang lebih besar dan lebihan perkhidmatan yang lebih tinggi disokong oleh penerimaan daripada sektor pelancongan dan ICT.

Sementara itu, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) kekal mampan pada RM22.8 bilion, sebahagian besarnya disalurkan kepada subsektor ICT serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.

Dalam kenyataan berasingan, BNM memaklumkan pertumbuhan pelaburan disokong oleh pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun oleh sektor swasta dan sektor awam, kadar realisasi yang tinggi bagi pelaburan yang diluluskan serta pelaksanaan berterusan pelan induk nasional. 

Pertumbuhan eksport kekal kukuh, didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan bagi eksport elektrik dan elektronik (E&E).

“Sementara itu, pertumbuhan import kasar menjadi sederhana berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan bagi import barangan modal, barangan perantaraan dan barangan pengguna,” katanya.

BNM memaklumkan pertumbuhan sektor perkhidmatan menjadi sederhana, mencerminkan penurunan dalam jualan kenderaan bermotor berikutan pembelian yang dilakukan lebih awal pada suku keempat sebelum tamatnya tempoh pengecualian duti import bagi kenderaan elektrik.

“Sementara itu, prestasi sektor perkilangan kekal disokong oleh prestasi E&E yang lebih kukuh, selaras dengan permintaan berterusan bagi komponen berkaitan kecerdasan buatan dan pusat data,” menurut BNM. 

Selain itu, pertumbuhan sektor pertanian lebih rendah berikutan pengeluaran minyak sawit yang kembali normal selepas paras pengeluaran yang tinggi sebelum ini serta aktiviti penanaman semula yang berterusan.

“Sektor perlombongan dan pengkuarian menguncup disebabkan terutamanya oleh pengeluaran minyak dan gas yang lebih rendah.

“Selain itu, pertumbuhan sektor pembinaan kembali normal daripada pertumbuhan dua angka berikutan penyederhanaan dalam pembinaan kediaman dan aktiviti kejuruteraan awam,” katanya.

Menurut BNM, pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi menguncup sebanyak 0.01 peratus berbanding pertumbuhan 1.4 peratus pada suku keempat 2025 berikutan prestasi yang lebih kukuh pada suku tahun sebelumnya.

Sementara itu, Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour berkata Malaysia dijangka berdepan cabaran luar akibat daripada konflik geopolitik yang berterusan di Asia Barat.

“Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, Malaysia tidak dapat mengelak daripada menerima impak secara langsung dan tidak langsung daripada konflik geopolitik yang sedang berlaku di Asia Barat.

“Harga tenaga yang lebih tinggi, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan yang meningkat dijangka memberi impak kepada persekitaran luaran,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Rasheed berkata ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada 2026, dengan pertumbuhan diunjurkan antara empat peratus dan lima peratus, disokong oleh permintaan domestik yang stabil dan peningkatan eksport yang berterusan.

Beliau berkata permintaan domestik yang berdaya tahan akan terus menyediakan penampan yang kukuh terhadap cabaran luaran.

“Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh keadaan pasaran tenaga kerja yang kukuh dan sokongan dasar yang berterusan.

“Aktiviti pelaburan akan didorong oleh pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun oleh sektor swasta dan sektor awam serta pelaksanaan pelan induk nasional yang berterusan,” katanya.

Walaupun terdapat cabaran luaran, Abdul Rasheed berkata pertumbuhan eksport akan terus mendapat manfaat daripada pengembangan teknologi global, terutamanya untuk barangan E&E, mencerminkan peranan Malaysia dalam rantaian nilai global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan