SEREMBAN, 15 Mei (Bernama) -- Golongan belia diseru terus memperkukuh jati diri, kepimpinan dan semangat perjuangan, dalam memastikan masa hadapan negara kekal berada pada landasan yang tepat selaras aspirasi Malaysia MADANI.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pembangunan belia tidak seharusnya tertumpu kepada aspek program semata-mata, sebaliknya perlu memberi fokus kepada pembinaan karakter, daya kepimpinan serta kesiapsiagaan menghadapi cabaran masa hadapan.
Beliau berkata selari dengan tema Hari Belia Negara 2026 iaitu “Menggerak Belia MADANI” hari ini, kementerian itu menekankan peranan strategik anak muda sebagai generasi pewaris kepimpinan negara, yang bakal mencorakkan landskap ekonomi, sosial dan politik Malaysia pada masa hadapan.
“Jika ingin melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah anak muda pada hari ini...dengan semangat serta dorongan ditunjukkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri), insya-Allah Malaysia akan terus berada pada landasan yang betul.
“Belia perlu mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin masa hadapan, menjadi generasi yang mampu mencorakkan landskap ekonomi dan kepimpinan negara,” katanya berucap pada Sambutan Perasmian Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan, di d'Tempat Sendayan hari ini.
Perasmian Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan dan Pelancaran Pelan Tindakan Belia Malaysia 2035 itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohammed Taufiq berkata kementerian akan memperkenalkan penjenamaan baharu iaitu Rakan Muda MADANI, bagi memastikan program yang dianjurkan terus relevan.
Beliau berkata pelbagai program pembangunan kepimpinan dan pengupayaan belia akan terus diperkasakan, bagi memastikan generasi muda negara memiliki keupayaan serta nilai kepimpinan yang tinggi.
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pada majlis itu berkata kerajaan negeri sentiasa komited membantu anak muda dalam bidang pendidikan, sukan, teknologi, keusahawanan dan kepimpinan.
Beliau berkata negara mahu melahirkan belia yang bukan sekadar mencari pekerjaan tetapi mampu mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain.
“Dunia hari ini berubah sangat pantas. Anak muda yang mampu menguasai ilmu, teknologi dan kemahiran baharu, akan menjadi generasi yang memimpin masa depan negara.
“Saya berharap sambutan Hari Belia Negara kali ini, menjadi suntikan semangat kepada semua anak muda untuk terus melangkah ke hadapan. Jangan pernah rasa diri terlalu kecil untuk membawa perubahan,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata sejarah membuktikan banyak perubahan besar dunia bermula daripada keberanian anak muda, yang percaya kepada impian mereka.
Beliau berkata gunakan usia muda ini untuk belajar, membina pengalaman dan mencipta sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial