KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Langkah kerajaan memberi laluan kepada lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) atau Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) disifatkan sebagai usaha memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada rakyat.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata langkah itu adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lepas, bagi menyediakan laluan tambahan kepada pelajar daripada sistem pendidikan di luar Kementerian Pendidikan untuk melanjutkan pengajian di IPTA.
“Bukan UEC sahaja, sijil tahfiz pun dah dapat. Jadi ini kita menambah akses kepada rakyat Malaysia mendapat pendidikan tinggi, (dan ia) adalah sesuatu yang baik,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Stesen Keretapi Segambut Utara di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Mengulas lanjut, Loke yang juga Menteri Pengangkutan membidas sikap pembangkang yang membantah usaha kerajaan memperluas peluang pendidikan kepada rakyat.
“Kita nak tambah akses pendidikan nak didik anak-anak kita mendapat pendidikan yang lebih baik. Pembangkang dia main bangkang saja. Dia tak nak orang dapat akses pendidikan, jadi dia nafikan hak anak-anak kita belajar ke peringkat yang lebih tinggi.
“Sudah tentu kita dalam kerajaan bersetuju supaya akses ini ditambah baik dan memberikan laluan kepada lepasan UEC mendapat pendidikan di IPTA, universiti-universiti tempatan dan juga kepada pelajar-pelajar di sekolah tahfiz juga memberikan laluan yang sama,” katanya.
Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju terhadap beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan SMPC ke IPTA.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial