AM

Agenda Pemerkasaan Bumiputera Perlu Kerjasama Menyeluruh - Ahmad Zahid

15/05/2026 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Agenda pemerkasaan Bumiputera tidak boleh digerakkan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh melibatkan kerajaan, industri, institusi pendidikan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan masyarakat. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua pihak perlu bergerak seiring agar segala perancangan yang dirangka benar-benar memberi manfaat serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi akan datang.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan ketika mempengerusikan mesyuarat bersama pengerusi-pengerusi kluster Kongres Ekonomi Bumiputera di Putrajaya, bagi meneliti perkembangan serta hala tuju beberapa agenda strategik di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

“Pelbagai perkara dibincangkan melibatkan aspek pendidikan, pembangunan bakat, TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), ekonomi, keusahawanan, teknologi baharu, pembangunan komuniti serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

“Insya-Allah, segala dapatan dan cadangan yang dibincangkan akan terus diperhalusi supaya agenda digerakkan ini kekal relevan, mampan dan mampu memperkukuh masa depan bumiputera serta negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

PuTERA35 yang dilancarkan pada 19 Ogos 2024 merupakan pelan komprehensif kerajaan untuk memperkasakan ekonomi bumiputera menerusi 132 ikhtiar, tiga teras dan 12 pemacu.

Pelan strategik 10 tahun bagi tempoh 2024 hingga 2035 itu menyasarkan peningkatan penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera ke tahap lebih tinggi selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan