SUKAN

Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia Tewaskan Singapura Acara Kuadran

16/05/2026 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Malaysia memulakan aksi Kumpulan C acara kuadran Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dengan langkah kanan apabila menewaskan Singapura 2-0 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Skuad negara yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi tidak berdepan masalah menguasai set pertama dengan kemenangan 15-9.

Pada set kedua, Malaysia membuat pertukaran dengan memasukkan Jefri Ahmad menggantikan kapten pasukan, Amirul Zazwan sebelum mengesahkan kemenangan 15-13 ke atas gandingan Singapura yang dibarisi Mohammad Fairuz Azahari, Hairul Fizly Abdullah, Youri Adli Fathullah Ahmadi dan Akmal Musyarraf Rostam.

Malaysia dijadual menentang Korea Selatan dan India dalam aksi kedua dan ketiga Kumpulan C esok.

Sementara itu, Amirul Zazwan mengakui skuad negara berdepan kesukaran untuk menembusi permainan Singapura dan perlu segera memperkemas aspek servis serta halangan menjelang aksi menentang India dan Korea Selatan yang dianggap lebih mencabar.

“Untuk hari ini servis saya kurang membantu Malaysia mendapatkan mata. Dari segi halangan, skuad India dan Korea Selatan lebih baik daripada kita. Kita harus terima perkara itu, namun dari segi permainan kita setara,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Dalam perlawanan pembukaan lain hari ini, Thailand menewaskan Indonesia 12-15, 15-13, 15-7 dan akan bertemu Vietnam dalam perlawanan seterusnya Kumpulan D.

Sementara itu, Vietnam menewaskan Jepun 15-6, 10-15, 15-11 dan bakal menentang Thailand.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan