AM

Cyberview Komited Promosi Kesejahteraan Mental Sempena Hari Sedunia OSH X Chain 2026

15/05/2026 10:34 PM

CYBERJAYA, 15 Mei (Bernama) -- Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) mengukuhkan komitmennya untuk mempromosikan kesejahteraan di tempat kerja secara holistik menerusi penganjuran Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (OSH) X Cyberjaya Healthcare AI and Innovation Network (CHAIN) 2026, yang diadakan sempena sambutan Hari Sedunia OSH pada April setiap tahun.

Diadakan di RekaScape di sini baru-baru ini, program itu bertemakan From Healthy Minds to Thriving Workplaces, yang mengetengahkan kepentingan kesejahteraan mental sebagai tonggak utama keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam persekitaran kerja yang sentiasa berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview Kamarul Ariffin Abd Samad berkata pemimpin perlu mengutamakan kesejahteraan pekerja seiring dengan prestasi dan pencapaian organisasi.

“Pemimpin bukan sekadar memacu prestasi atau mencapai hasil. Ia bermula dengan mengemukakan persoalan yang lebih penting: Adakah warga kerja kita berada dalam keadaan baik? Kerana tanpa kesejahteraan, tiada perkara lain yang mampu dikekalkan.

“Cabaran kesihatan mental bukan kelemahan. Ia adalah petunjuk bahawa sesuatu perkara memerlukan perhatian, penjagaan atau perubahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul berkata tekanan, keletihan melampau dan keresahan perlu ditangani dengan tahap keutamaan yang sama seperti keselamatan fizikal di tempat kerja.

Beliau berkata teknologi seharusnya melengkapi dan bukannya menggantikan elemen penjagaan serta empati manusia dalam usaha transformasi penjagaan kesihatan.

“Menerusi CHAIN, Cyberview terus berperanan sebagai pemangkin kerjasama antara organisasi, penyedia penjagaan kesihatan, inovator dan komuniti secara menyeluruh untuk membudayakan kesejahteraan di tempat kerja.

“Matlamat kami mudah, iaitu melangkaui tahap kesedaran semata-mata kepada pembinaan tempat kerja yang benar-benar menyokong, berdaya tahan dan mampan untuk jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Psikologi (Kaunseling) di Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) Cyberjaya Nurul Husna Abdul Rahim memetik data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2024 yang menganggarkan kemurungan dan keresahan menyumbang kepada kehilangan lebih 12 bilion hari bekerja di seluruh dunia setiap tahun, sekali gus mengakibatkan kerugian produktiviti hampir RM4 trilion.

Beliau turut merujuk dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang menganggarkan sejuta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas sedang mengalami kemurungan, iaitu dua kali ganda berbanding angka yang direkodkan pada 2019.

“Cabaran kesihatan mental tidak bermula dengan pandemik, namun COVID-19 telah menyerlahkannya, selalunya dalam keadaan terasing dan tanpa sokongan yang mencukupi.

“Sekiranya trend ini berterusan tanpa kawalan, kesannya terhadap individu, tempat kerja dan produktiviti akan terus meningkat,” katanya.

Nurul Husna berkata kesedaran berterusan, intervensi awal dan platform kolaboratif seperti Hari OSH X CHAIN amat penting bagi mengurangkan stigma serta memupuk persekitaran kerja psikososial yang lebih sihat.

Program sehari itu turut menampilkan sesi perbincangan panel bertajuk Good Psychosocial Work Environments for Thriving Workers, yang membincangkan kaedah organisasi dapat menyokong pekerja dengan lebih baik dalam menangani cabaran di tempat kerja.

Program itu menghimpunkan inovator penjagaan kesihatan, pelajar universiti dan anggota komuniti bagi menggalakkan dialog mengenai keselamatan pekerjaan, kesihatan dan kesejahteraan mental.

Acara itu turut menampilkan 10 pempamer yang terdiri daripada syarikat pemula penjagaan kesihatan, penyedia kesejahteraan dan syarikat teknologi, sekali gus mencerminkan penekanan Cyberview terhadap kerjasama dan inovasi dalam membangunkan ekosistem kesejahteraan yang mampan.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan