EKONOMI

Nilai Potensi Jualan Produk Usahawan Sabah Cecah RM95.9 Juta Tahun Lepas - Hajiji

16/05/2026 08:32 PM

KOTA KINABALU, 16 Mei (Bernama) -- Kebolehpasaran produk usahawan tempatan Sabah ke pasaran antarabangsa menyaksikan peningkatan dengan nilai potensi jualan mencecah RM95.9 juta sepanjang tahun lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kejayaan itu merupakan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi memperkasa usahawan Sabah dan potensi produk tempatan.

Beliau berkata pencapaian tersebut direkodkan menerusi penyertaan seramai 124 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam 18 ekspo perdagangan antarabangsa.

“Prestasi ini menunjukkan peningkatan 37.12 peratus berbanding RM60.4 juta pada tahun sebelumnya dan membuktikan produk keluaran Sabah mempunyai kualiti serta potensi besar untuk bersaing di pasaran global,” katanya pada program Inspirasi Beli Barangan Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Hajiji berkata pada tahun ini, kerajaan negeri akan terus memperluas akses pasaran antarabangsa dengan penyertaan dalam pelbagai ekspo perdagangan utama di beberapa negara termasuk Singapura, Thailand, Korea Selatan, Jepun dan Perancis.

Langkah itu bukan sahaja membuka peluang pasaran baharu kepada usahawan Sabah, malah turut memperkenal identiti serta keunikan produk tempatan ke peringkat dunia.

Usahawan tempatan Sabah perlu memanfaatkan sepenuhnya platform Kempen Kita Beli Barangan Malaysia (KBBM) bagi mempromosi sekali gus meningkatkan potensi pasaran produk masing-masing, katanya.

Pelaksanaan KBBM pada 2024 telah mencatatkan nilai jualan berjumlah RM7.4 bilion, meningkat berbanding RM6.5 billion pada 2023 dan RM2.7 bilion pada 2022.

Sementara itu, Hajiji berkata sektor perdagangan runcit dan borong negara terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatatkan nilai jualan mencecah RM1.87 trilion pada tahun lepas, menokok berbanding RM1.766 trilion pada 2024.

Beliau berkata pencapaian ini mencerminkan pertumbuhan aktiviti ekonomi domestik, peningkatan keyakinan pengguna serta perkembangan pesat sektor perdagangan negara.

Katanya ini membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam memantapkan ekosistem perdagangan domestik, termasuk melalui pelaksanaan kempen seperti KBBM, semakin memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara secara k    eseluruhannya.

“KBBM bukan sekadar ruang untuk menjual produk, tetapi peluang bagi membina jaringan, memperkukuh jenama dan membuka akses kepada pasaran yang lebih besar.

“Saya amat menggalakkan usahawan Sabah untuk membina kerjasama strategik, bukan sahaja sesama usahawan di negeri ini, tetapi juga dengan rakan industri di Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan