AM

Pembangunan Ladang Pengajaran Keusahawanan Veterinar Perkukuh UMK Dalam Industri Ruminan

16/05/2026 05:19 PM

Oleh Azli Shafii

BACHOK, 16 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperkukuh kedudukan menjadi hab veterinar dan industri ruminan di Pantai Timur menerusi pembangunan Ladang Pengajaran Keusahawanan Veterinar (LPKV) yang akan berfungsi sebagai pusat latihan, penyelidikan dan inovasi bidang itu.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMK Profesor Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata LPKV bukan sahaja memperkasakan ekosistem pendidikan veterinar di universiti itu, malah berpotensi menjadi pusat rujukan kepada penternak, pemain industri dan komuniti bidang itu di Pantai Timur.

“LPKV akan menjadi platform penting memperkasakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berasaskan pengalaman, selain menyokong aktiviti penyelidikan, inovasi dan penjanaan pendapatan universiti pada masa hadapan.

“Melalui kemudahan ini, UMK berupaya memperkukuh jaringan strategik dengan pemain industri, penternak dan agensi berkaitan dalam usaha memajukan sektor veterinar dan ruminan negara,” katanya kepada Bernama pada Majlis Perasmian Expo Ruminan 2026 dan LPKV di sini hari ini.

Wan Ahmad Amir Zal berkata penubuhan LPKV juga mampu menyokong pembangunan industri ternakan dengan lebih mampan dan berdaya saing. 

Selain itu, beliau berkata penganjuran Expo Ruminan 2026 oleh Fakulti Perubatan Veterinar UMK menjadi platform penting menghimpunkan pihak profesional, pengeluar, pembekal, penternak, ahli akademik dan komuniti untuk berkongsi ilmu serta kepakaran berkaitan sektor ruminan serta pengurusan penyakit ternakan.

Wan Ahmad Amir Zal berkata program dua hari itu diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk sesi perkongsian penjagaan ruminan, taklimat penyakit berjangkit, pertandingan ruminan kecil, pameran dan Farm Fun Run.

Beliau berkata penglibatan penuntut dalam program berskala besar seperti itu dapat memberi pendedahan awal kepada suasana sebenar industri sekali gus membantu melahirkan lepasan veterinar yang kompeten dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

“Pengalaman secara langsung di lapangan sangat penting dalam membentuk kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan pengurusan program yang amat diperlukan industri veterinar,” katanya.

Wan Ahmad Amir Zal berkata UMK yang berteraskan keusahawanan menerusi slogan Entrepreneurship is Our Thrust sentiasa komited melahirkan golongan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan profesionalisme, malah memiliki daya saing, kreativiti dan pemikiran keusahawanan yang tinggi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan