JOHOR BAHRU, 17 Mei (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anthony Loke hari ini menyelar dakwaan pihak tertentu yang menuduh kerajaan cuba menggantikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
Setiausaha Agung DAP itu berkata fakta menunjukkan bahawa lebih 80 peratus pelajar UEC menduduki peperiksaan SPM termasuk 9,580 daripada 10,944 pelajar pada tahun lepas sekali gus meyakinkan Kabinet bahawa pelajar aliran tersebut tetap mengambil peperiksaan kebangsaan sebagai asas pendidikan mereka.
"Pelajar UEC juga duduk SPM... UEC ini setaraf dengan A-Level dan digunakan sebagai kelayakan masuk universiti tetapi syarat asas kita tetap mewajibkan calon memiliki SPM dengan sekurang-kurangnya kredit dalam Bahasa Melayu dan lulus subjek Sejarah.
"Ini syarat yang sangat jelas... saya tabik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau berani menangani dan menyelesaikan isu yang sudah berlarutan berpuluh-puluh tahun ini sedangkan tiada Perdana Menteri sebelum ini yang berani bertindak walaupun sering menjanjikannya dalam manifesto," katanya.
Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, yang turut dihadiri Anwar dan pimpinan PH.
Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan bahawa mesyuarat Kabinet bersetuju dengan beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina ke Institut Pengajian Tinggi Awam.
Loke berkata penetapan dasar itu adalah hasil mandat Kabinet dan sebarang perincian lanjut melibatkan subjek lain tertakluk kepada keputusan Senat Universiti dan KPT yang kini diterajui menteri daripada Barisan Nasional (BN).
Beliau turut memberi jaminan bahawa DAP akan terus memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tidak akan sesekali meminggirkan kepentingannya dalam sistem pendidikan.
"Bahasa Melayu kekal bahasa kebangsaan kita selama-lamanya... kita mahu anak Malaysia kuasai pelbagai bahasa... Melayu, Cina, Inggeris, Tamil malah Arab... inilah falsafah Kerajaan MADANI," katanya.
Dalam pada itu, Loke menyelar kepura-puraan pemimpin pembangkang khususnya daripada PAS dan Perikatan Nasional (PN) yang membantah langkah tersebut sedangkan mereka pernah menyokong pengiktirafan UEC dalam manifesto terdahulu.
Beliau berkata Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah mengangkat Buku Jingga pada 2013 yang mengandungi janji pengiktirafan UEC, begitu juga dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Buku Harapan pada 2018.
"Masa kamu nak undi pengundi Cina, kamu setuju... sekarang apabila PMX (Anwar) laksanakan, mereka kata PMX jual orang Melayu dan ini agenda DAP... ini adalah hipokrit," katanya.
Mengulas kritikan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong yang mendakwa pengiktirafan empat subjek UEC sebagai tidak mencukupi, Loke berkata MCA telah berada dalam kerajaan Persekutuan selama berpuluh-puluh tahun namun gagal menyelesaikan isu berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial