AM

TH Fokus Kesihatan Jemaah Hadapi Cuaca Panas, Wukuf Di Arafah

19/05/2026 10:20 AM

Oleh Amirul Mohd Sajadi

MAKKAH, 19 Mei (Bernama) -- Memastikan setiap jemaah haji Malaysia berada pada tahap kesihatan optimum untuk melaksanakan kemuncak ibadah haji iaitu wukuf di Arafah menjadi tumpuan utama Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini, meskipun berdepan cabaran cuaca panas ekstrem.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Mohamad Zamri Harun berkata untuk itu kesiapsiagaan pasukan perubatan bagi menghadapi operasi Masyair dipertingkat menerusi perancangan menyeluruh melibatkan fasa sebelum, semasa dan selepas pergerakan jemaah ke Arafah, Muzdalifah serta Mina.

Beliau berkata sebahagian petugas perubatan telah digerakkan lebih awal ke kawasan Masyair bagi memastikan operasi rawatan dan kecemasan berjalan lancar sepanjang tempoh kemuncak itu.

"Fokus utama kita adalah agar jemaah dapat menunaikan haji dengan sempurna, sekurang-kurangnya mampu berwukuf. Justeru, petugas perubatan ditempatkan bersama jemaah di maktab bagi memastikan rawatan segera dapat diberikan sekiranya perlu," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Bagi musim haji 1447H/2026M ini, beliau berkata penugasan untuk operasi Masyair, yang merupakan kemuncak bagi menyempurnakan ibadah rukun dan wajib haji selama lima hari bermula 8 hingga 13 Zulhijjah, melibatkan 224 petugas perubatan termasuk pakar, doktor serta jururawat. 

Dr Mohamad Zamri berkata cabaran utama pasukan perubatan adalah memastikan koordinasi dan komunikasi berkesan memandangkan pergerakan ke Arafah melibatkan jumlah jemaah yang besar dalam tempoh singkat.

Selain itu, beliau berkata cuaca panas melebihi 40 darjah Celsius di Tanah Suci turut meningkatkan risiko dehidrasi, keletihan dan strok haba, selain jangkitan saluran pernafasan.

"Seminggu sebelum wukuf, jemaah dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar terutama berjalan ke Masjidil Haram pada waktu siang. Mereka juga digalakkan minum sekurang-kurangnya 10 gelas air sehari walaupun tidak berasa haus bagi memastikan tubuh kekal terhidrat," katanya.

Mengenai strok haba, Dr Mohamad Zamri berkata keadaan itu biasanya bermula dengan keletihan haba akibat kehilangan banyak air daripada perpeluhan berlebihan dan antara simptom yang perlu diperhatikan ialah kekeliruan, kulit kering, lidah dan bibir kering, kekejangan otot serta pengsan.

“Oleh itu, jemaah diingatkan agar banyak berehat, minum air secukupnya dan jangan memaksa diri untuk terlalu kerap ke Masjidil Haram dalam tempoh terdekat ini. Kita mahu semua jemaah mampu berwukuf di Arafah dan memperoleh haji yang mabrur,” katanya.

Beliau turut menekankan agar jemaah yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi sentiasa berdisiplin dalam pengambilan ubat-ubatan mengikut jadual.

“Jemaah perlu terus makan ubat seperti biasa dan tidak bergantung kepada doa semata-mata. Disiplin mengambil ubat amat penting walaupun berada di Tanah Suci,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan