AM

Bernama Rakan Strategik Perwakilan Malaysia Di Luar Negara - Duta Besar Malaysia Ke Kazakhstan

20/05/2026 11:54 AM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) disifatkan sebagai rakan strategik perwakilan Malaysia di luar negara dalam menyalurkan berita berkepentingan kepada negara, terutama berkaitan dasar kerajaan, hubungan dua hala dan aktiviti melibatkan Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan Mohd Adli Abdullah berkata sejak penubuhannya, Bernama memainkan peranan penting sebagai sumber maklumat yang sahih, tepat dan berwibawa, bukan sahaja kepada rakyat di tanah air, malah komuniti Malaysia di luar negara.

"Bagi kami di perwakilan Malaysia di luar negara, Bernama merupakan rakan strategik dalam menyalurkan dan berkongsi berita-berita terkini yang berkepentingan kepada negara," katanya kepada Bernama sempena ulang tahun penubuhan Bernama ke-59 hari ini.

Beliau berkata liputan profesional Bernama memastikan rakyat Malaysia sentiasa mendapat maklumat terkini dan tepat, sekali gus memperkukuh rasa kebersamaan meskipun jauh di perantauan.

Mohd Adli berkata Perwakilan Malaysia di Astana turut menyaksikan komitmen dan profesionalisme tinggi wakil Bernama, khususnya semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kazakhstan pada 16 hingga 17 Mei 2024.

"Liputan yang menyeluruh, pantas dan berintegriti bukan sahaja membantu menjelaskan kepentingan lawatan serta peranan Perwakilan kepada khalayak di Malaysia, malah memperkukuhkan lagi imej negara di persada antarabangsa.

"Dedikasi yang ditunjukkan oleh wakil Bernama sepanjang lawatan tersebut amat kami hargai," katanya.

Beliau berkata komitmen, profesionalisme dan dedikasi sama diyakini akan terus dizahirkan Bernama semasa lawatan rasmi Presiden Kazakhstan ke Malaysia yang dijadual pada Julai tahun ini.

Mohd Adli berkata liputan berkualiti pastinya menjadi elemen penting dalam menyokong usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Kazakhstan.

"Sempena ulang tahunnya ke-59 ini, saya yakin Bernama akan terus kekal sebagai agensi berita yang unggul dan dipercayai serta mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi semasa dan landskap media yang dinamik," katanya.

Bernama ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968 dengan perkhidmatan teks berita, sebelum berkembang kepada perkhidmatan foto, radio, televisyen dan media digital.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan