PETALING JAYA, 20 Mei (Bernama) -- Juara bertahan dari Thailand, Buriram United membawa balik bekalan satu gol ke laman sendiri selepas menewaskan Selangor FC 1-0 pada aksi final pertama Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2025-2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini malam ini.
Buriram United terlebih dahulu menguji benteng tuan rumah seawal minit keenam, namun peluang keemasan Suphanat Mueanta gagal dimanfaatkan apabila percubaan kaki kanannya tersasar dalam situasi satu lawan satu berdepan penjaga gol Selangor Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Pasukan pelawat terus mengancam menerusi rembatan padu Kingsley Schindler pada minit ke-10, namun percubaannya sedikit tersasar ke kiri gawang Selangor.
Buriram United akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-24 apabila Suphanat bijak mencari ruang sebelum menanduk masuk hantaran Theerathon Bunmathan.
Skuad bimbingan Mark Jackson itu hampir menggandakan kedudukan pada masa tambahan babak pertama, namun percubaan jarak dekat Suphanat berjaya diselamatkan Sikh Izhan.
Bersambung babak kedua, skuad Red Giants meningkatkan intensiti serangan dalam usaha memburu jaringan penyamaan, namun beberapa percubaan gagal menemui sasaran.
Peluang terbaik pasukan tuan rumah kendalian Kim Pan Gon itu hadir pada minit ke-67 menerusi Noor Al Rawabdeh, namun tolakannya sekadar menggegar tiang gol Buriram.
Berbaki kira-kira 10 minit permainan, Pan Gon melakukan tiga pertukaran termasuk menurunkan Muhammad Syahir Bashah dan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dalam usaha menyamakan kedudukan tetapi percaturan itu gagal membuahkan hasil.
Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus memberi kelebihan buat Buriram United dalam misi mempertahankan gelaran menjelang aksi timbal balik di Stadium Buriram, Rabu depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial