EKONOMI

MRT APEC 2026 : Malaysia Tegaskan Komitmen Dagangan Berasaskan Peraturan, Pertumbuhan Inklusif

25/05/2026 11:53 AM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Malaysia mengulangi penegasan komitmennya terhadap sistem perdagangan global yang terbuka, telus, boleh dijangka serta berasaskan undang-undang ditetapkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu dizahirkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di China, baru-baru ini.

Menurut MITI, Malaysia turut menegaskan sebarang perjanjian perdagangan serantau dan mega perlu sejajar serta memperkukuh rangka kerja WTO selain menekankan keperluan mengukuhkan kerjasama dalam keterjaminan tenaga serta membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan berikutan gangguan global yang berlanjutan.

Pada masa sama, Malaysia mengetengahkan kepentingan dalam memastikan manfaat pendigitalan, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan peralihan hijau kekal praktikal, inklusif atau terangkum serta mudah diakses, terutama bagi kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Aspek itu akan disokong menerusi peningkatan kesalingoperasian, pembinaan kapasiti serta aspek memudah cara pelaksanaannya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat yang berlansgung di Suzhou, China, pada 22-23 Mei, 2026.

Beliau berkata Malaysia kekal komited untuk bekerjasama erat dengan kalangan ekonomi atau negara APEC untuk memastikan aspek seperti integrasi ekonomi serantau, transformasi digital, inisiatif kelestarian, keterjaminan tenaga serta kerjasama rantaian bekalan memberi hasil praktikal dan berorientasikan perniagaan untuk rantau Asia Pasifik.

Di luar mesyuarat itu, Johari turut mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawat dari China, Amerika Syarikat, New Zealand, Australia, Korea Selata, Jepun dan Singapura bagi memperkukuh kerjasama ekonomi strategik.

Kedua-dua pihak terbabit turut bertukar pendapat mengenai perkembangan ekonomi global, termasuk kerjasama melalui platform seperti APEC dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Perbincangan itu menumpukan usaha meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan, kerjasama dalam sektor strategik termasuk keselamatan tenaga dan rantaian bekalan yang berdaya tahan selain melonjakkan keyakinan pelabur dan daya tahan ekonomi serantau.

Selain itu, Johari turut berinteraksi dengan wakil Pakatan Perniagaan AS-APEC dan beberapa syarikat yang melabur serta beroperasi di Malaysia serta bertukar pendapat mengenai trend perdagangan serta pelaburan, termasuk aspek daya tahan rantaian bekalan, pendigitalan dan memudah cara pelaburan.

MITI memaklumkan, Malaysia kekal kekal komited untuk memperkukuh kerjasama ekonomi serantau dan memastikan rantau Asia Pasifik kekal terbuka, berdaya tahan serta kondusif bagi tujuan pertumbuhan perdagangan serta pelaburan yang mampan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan