AM

Tempoh Bayaran Cukai Tanah Di Pahang Dilanjutkan 30 Jun - MB

25/05/2026 04:51 PM

KUANTAN, 25 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang bersetuju melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah bagi 2026 hingga 30 Jun ini berbanding tarikh asal pada 31 Mei setiap tahun.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata lanjutan tempoh itu turut disertakan pengecualian denda lewat sebanyak 10 peratus daripada jumlah cukai tanah semasa yang dikenakan.

Beliau berkata keputusan berkenaan dibuat dengan mengambil kira tempoh cuti yang agak panjang sepanjang Mei bagi memberi ruang dan kemudahan kepada rakyat menjelaskan bayaran cukai tanah masing-masing.

“Cukai tanah merupakan tanggungjawab penting setiap pemilik tanah dan hasil kutipan tersebut membantu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai agenda pembangunan, penyediaan infrastruktur, kebajikan rakyat serta perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Wan Rosdy menyeru semua pembayar cukai mengambil peluang lanjutan tempoh itu untuk menyelesaikan bayaran masing-masing segera bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan pada masa hadapan.

Beliau berkata kerajaan negeri komited memastikan tadbir urus hasil negeri berada pada tahap terbaik demi menjamin kestabilan kewangan negeri serta kelangsungan agenda pembangunan untuk manfaat rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan