KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- IJM Land Bhd (IJM Land) mengesahkan kerjasamanya dengan Southern Catalyst Sdn Bhd (Southern Catalyst) bagi membangunkan taman perindustrian bernilai RM1.96 bilion di Sedenak, Johor dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Southern Catalyst ialah syarikat berkaitan Menteri Kewangan Diperbadankan dan pemaju induk Daerah Inovasi Southern Catalyst di Sedenak.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, IJM Land dan Southern Catalyst berkata pembangunan itu mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.96 bilion dan dijangka dilaksanakan dalam tempoh enam hingga lapan tahun.
“Diilham sebagai taman perindustrian sedia untuk masa depan, projek ini direka bentuk untuk menyokong industri bernilai tinggi yang sejajar dengan keutamaan pertumbuhan JS-SEZ, termasuk pembuatan termaju, biofarmaseutikal, tenaga boleh baharu, logistik bersepadu, selain teknologi pertanian (teknologi agrikultur) dan teknologi makanan,” kata mereka.
Menurut mereka, perkongsian itu akan dilaksanakan menerusi syarikat usaha sama (JV) IJM Land Sedenak Sdn Bhd, dengan IJM Land memegang 70 peratus pegangan ekuiti manakala Southern Catalyst memegang baki 30 peratus.
Selain itu, kenyataan itu juga menyebut bahawa perkongsian itu menggariskan usaha kerjasama rentas sempadan yang lebih meluas untuk mempercepatkan pertumbuhan perindustrian dalam koridor JS-SEZ.
“Dengan menyelaraskan pembangunan dengan keutamaan ekonomi negara dan serantau, projek ini dijangka menyumbang kepada aliran masuk pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan, dan kemajuan industri bernilai tinggi di Johor,” kata mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land Datuk Tony Ling Thou Lung berkata perkongsian strategik itu menandakan langkah penting dalam strategi pengembangan perindustrian IJM Land, yang membolehkan kumpulan itu mengambil bahagian dalam pembangunan terancang utama di lokasi strategik dalam koridor pertumbuhan utama.
“Selain memperkukuh rancangan pendapatan kami, projek ini juga membolehkan kami meningkatkan keupayaan dengan lebih meluas dalam bidang perindustrian, sambil menyumbang kepada cita-cita Johor untuk menjadi hab serantau industri maju, inovasi dan aktiviti ekonomi rentas sempadan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Southern Catalyst Mohd Shahreza Maswan berkata Sedenak mempunyai potensi yang kukuh untuk muncul sebagai hab logistik dan perindustrian utama di rantau ini.
“JV dengan IJM Land ini menandakan satu peristiwa penting dalam mempercepatkan pembangunan ekosistem perindustrian rantaian penuh bersepadu, merangkumi penyelidikan dan pembangunan lanjutan, infrastruktur logistik pintar dan keupayaan pembuatan generasi akan datang.
“Dengan memanfaatkan kekuatan pelengkap kami, kami berhasrat untuk mewujudkan penanda aras bagi pembangunan eko-industri yang mampan, menarik pelaburan global berkualiti tinggi, dan memperkukuh kedudukan Johor sebagai pintu masuk serantau yang terkemuka bagi pertumbuhan ekonomi yang dipacu inovasi dan mampan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial