IPOH, 25 Mei (Bernama) -- Sebanyak 1,662 buah kenderaan telah diperiksa dalam tempoh dua hari pertama pelaksanaan Operasi Khas sempena Hari Raya Aidiladha (Ops HRAA) 2026 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak.
Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata daripada keseluruhan kenderaan yang diperiksa itu, sebanyak 206 buah kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Beliau berkata sebanyak 510 Notis P22 telah dikeluarkan, manakala saringan ujian urin yang dilakukan terhadap 53 pemandu mendapati kesemuanya negatif.
“Tiga kesalahan tertinggi yang dikesan sepanjang tempoh dua hari ini ialah tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) dengan 139 kes, tiada insurans (119 kes) dan tiada lesen memandu (103 kes).
“Selain itu, kami turut mengesan dua kes bas ekspres yang melakukan kesalahan ketika anggota membuat penyamaran perjalanan, iaitu pemandu yang memandu di lorong kanan secara berterusan,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Terminal Bas Aman Jaya sempena Ops HRAA 2026 di sini hari ini.
Mohammad Yusoff berkata operasi khas yang dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 31 Mei itu, memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama yang sering menjadi punca kemalangan jalan raya, termasuklah memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
“Sebagai langkah kesiapsiagaan pengangkutan awam, JPJ Perak turut menjalankan pemeriksaan bas di depoh-depoh bermula 24 hingga 26 Mei, bagi memastikan kenderaan tersebut berada dalam tahap keselamatan dan teknikal yang optimum sebelum membawa penumpang,” katanya.
Dalam perkembangan sama Mohammad Yusoff berkata bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 23,287 kenderaan perdagangan telah diperiksa menerusi Ops Khas Kenderaan Perdagangan 2026.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,923 tindakan penguatkuasaan diambil termasuk menyita 44 buah kenderaan dengan tindakan Notis P22 sebanyak 6,600 kes, Notis Seksyen 63(3) 499 kes dan Notis Seksyen 64(1) sebanyak 41 kes.
“Kesalahan tertinggi kenderaan perdagangan yang direkodkan ialah tiada lesen vokasional (999 kes), tiada Lesen Kenderaan Perdagangan (CDL) (772 kes) dan kesalahan lebih muatan (677 kes),” katanya.
Mohammad Yusoff berkata bagi tempoh yang sama, JPJ Perak turut mempergiatkan Ops Kenderaan Mewah yang menyaksikan sebanyak 60 buah kenderaan mewah disita termasuk model Toyota Vellfire, Toyota Alphard, dan Porsche Cayenne.
“Kebanyakannya melibatkan kesalahan seperti LKM serta insurans tamat tempoh dan tiada lesen memandu yang sah, manakala JPJ Perak telah mengeluarkan 199 Notis P22 dan Notis Seksyen 64(1) sebanyak 60 kes,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial