AM

Kompleks Baharu JPJ N.Sembilan Bakal Dibina Dengan Kos RM140 Juta - Loke

11/06/2026 03:41 PM

NILAI,11 Jun (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan bakal memiliki kompleks baharu bernilai RM140 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kompleks baharu itu akan dibangunkan di tapak sedia ada JPJ di Senawang selepas pejabat pengoperasian dipindahkan sepenuhnya ke pejabat sementara di Era Walk Terminal 2 Seremban yang dijangkakan pada tahun depan.

Beliau berkata bangunan sedia ada akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan kompleks bangunan lebih moden dan mesra pengguna yang akan direka mengikut keperluan semasa.

"Projek ini telah mendapat kelulusan di bawah RMK13 dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Fokus kita sekarang adalah menyediakan pejabat sementara sebelum pembinaan kompleks baharu dimulakan.

"Kerja pengubahsuaian pejabat sementara itu (akan mengambil masa) lebih kurang enam hingga lapan bulan sebelum boleh digunakan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan JPJ Cawangan Nilai, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli  dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

Loke berkata kerajaan akan terus memastikan setiap sen yang dibelanjakan dalam pembangunan akan memberikan manfaat maksimum kepada rakyat.

Sementara itu, Loke berkata pejabat baru JPJ Cawangan Nilai seluas hampir 9,000 kaki persegi itu, melibatkan kos pengubahsuaian sebanyak RM1.7 juta dan berjaya disiapkan dalam tempoh kurang enam bulan sebelum mula beroperasi pada Isnin lepas.

Beliau berkata konsep mengoptimumkan penggunaan bangunan sedia ada turut diterapkan dalam pembukaan JPJ Cawangan Nilai yang beroperasi di ruang pejabat milik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) itu sebagai langkah penjimatan untuk membina bangunan baharu.

"Cawangan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada kira-kira 120,000 penduduk di Nilai serta kawasan berhampiran termasuk Bangi, Putrajaya, Bandar Baru Sendayan, Salak Tinggi dan Sepang.

"Konsep baharu pejabat JPJ yang lebih moden dan mesra pelanggan seperti ini akan diperluaskan secara berperingkat ke cawangan lain, termasuk di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), selain dilengkapi kemudahan digital seperti kiosk layan diri, ruang menunggu yang lebih selesa serta akses mesra orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Beliau berkata seramai 24 kakitangan akan ditempatkan di sini dengan menggunakan sumber sedia ada daripada JPJ Seremban, sementara permohonan jawatan baharu akan dibuat bagi memenuhi keperluan operasi jangka panjang. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan