EKONOMI

Pengusaha Nanas MD2, Pisang Di Mersing Sasar Kembang Perusahaan Jadi Hab Agropelancongan

26/05/2026 01:04 PM

Oleh Nur Faradilla Mohamad

MERSING, 26 Mei (Bernama) -- Pengusaha tanaman pisang dan nanas MD2 seluas 8.09 hektar di Jalan Pak Wan di sini berhasrat mengembangkan perusahaan yang dijalankan sejak 2021 sebagai hab agropelancongan. 

Hanafiah Junid, 68, menerima modal permulaan RM330,000 daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan digunakan bagi kerja-kerja pembersihan kawasan serta penanaman sehingga hasil dikeluarkan. 

Menurut anak jati Mersing itu, tanaman nanas dan pisang jenis nangka, tanduk, raja, kapas, nipah dan boyan, masing-masing seluas 4.045 hektar itu diusahakan di tanah yang dipajak daripada pejabat daerah dan kerajaan negeri, dengan pemasaran tertumpu di sekitar daerah berkenaan. 

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kita menerima banyak permintaan termasuk daripada peniaga, sekolah, agensi kerajaan dan institusi diraja memandangkan tiada pengusaha (komersial) di sini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau yang merupakan pesara kerajaan berkata nanas MD2 yang boleh dituai dalam tempoh 14 bulan selepas penanaman dibuat secara berperingkat bagi mengelak berlakunya lambakan hasil. 

“Misalnya, jika mahu 5,000 buah nanas, kita akan menggunakan kaedah penghormonan mengikut jumlah berkenaan sahaja,” katanya yang turut menerima bantuan peralatan seperti pagar elektrik dan baja daripada Jabatan Pertanian serta benih daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia. 

Hanafiah, yang memperoleh Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan hanya mempunyai seorang pekerja mampu menjana pendapatan lebih RM7,000 sebulan daripada kedua-dua tanaman tersebut. 

Katanya nanas MD2 yang ditanam di tanah mineral berbukit di kawasan berkenaan menerima maklum balas positif daripada pelanggan yang mendapati rasanya lebih manis. 

“Anggaran harga jualan bagi nanas MD2 adalah kira-kira RM5 sebiji manakala pisang pula RM4 sekilogram mengikut saiz, jenis dan gred,” kata bapa kepada empat anak itu.

Katanya dua unit penginapan turut ditawarkan menerusi D'Farm Kabin pada harga serendah RM120 satu malam selain menyediakan tarikan seperti kolam pancing ikan dan ternakan rusa serta landak.

Hanafiah berkata beliau mengamalkan konsep ekonomi kitaran dengan menggunakan semula sisa kulit nanas dan pisang sebagai makanan rusa bagi mengelakkan pembaziran.

Mengenai cabaran projek itu, Hanafiah berkata beliau berdepan ancaman haiwan liar seperti gajah, monyet dan kera, namun bersyukur kerana menerima pampasan berjumlah RM27,000 daripada kerajaan pada tahun lepas.  

“Alhamdulillah, bantuan itu dapat digunakan untuk menampung kerugian dengan meningkatkan aspek keselamatan seperti membaiki pagar dan memasang lampu solar,” katanya.

Katanya beliau turut merancang untuk membangunkan sebuah pusat sehenti agropelancongan dan produk hiliran seperti jus dan tart nanas, namun berdepan kekangan modal dan tenaga kerja.

“Saya berharap dapat merealisasikan impian ini sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan