FOKUS BERNAMA

Integriti Dan Kredibiliti Media Asas Kepercayaan Awam

28/05/2026 03:57 PM
Daripada Nurqalby Mohd Reda

Dalam era ledakan maklumat tanpa sempadan, peranan media rasmi dan bertauliah kian kritikal, bukan hanya sebagai penyebar berita sahih tetapi juga selaku benteng pertahanan terhadap penularan berita palsu, tidak tepat ataupun mengelirukan. 

Lambakan maklumat yang membanjiri media sosial khususnya, merupakan antara “musuh utama” media rasmi, sementelah menurut Kementerian Komunikasi terdapat kira-kira 28 juta pengguna media sosial di negara ini setakat September tahun lalu.

Kewujudan “wartawan” tidak bertauliah di media sosial yang begitu tangkas berkongsi maklumat tanpa menyemak kesahihan fakta ataupun sumber, menegaskan kepentingan media arus perdana berpegang pada integriti dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat umum.

Sehubungan dengan itu, media arus perdana harus berpegang pada integriti dalam pelaporannya, dan ini ditegaskan dalam tema Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, iaitu “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”.

  

MEDIA BERINTEGRITI DIYAKINI

Mengupas tema HAWANA tahun ini,  pensyarah kanan di Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia Dr Sharifah Sofiah Syed Zainudin berkata kepercayaan umum terhadap sesebuah organisasi media hanya dapat dikekalkan melalui laporan yang konsisten, telus dan disampaikan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Beliau berkata dalam situasi penyebaran maklumat yang semakin pantas, masyarakat kini lebih kritis dalam menilai kesahihan sesuatu berita sebelum mempercayainya.

Justeru, media yang berpegang teguh pada integriti dilihat lebih diyakini kerana mengutamakan ketepatan fakta dan keseimbangan dalam pelaporan mereka.

“Sebaliknya, keyakinan masyarakat terhadap media boleh terhakis sekiranya laporan yang disiarkan didapati tidak sahih, berat sebelah atau terlalu berunsur sensasi.

“Keadaan itu boleh menjejaskan kredibiliti organisasi media dan sekali gus mengurangkan peranannya sebagai sumber rujukan utama,” katanya kepada Bernama.


Pensyarah kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM Dr Sharifah Sofiah Syed Zainudin

Selain itu, beliau berkata landskap maklumat di Malaysia ketika ini dilihat menawarkan pelbagai pilihan kepada rakyat sama ada melalui media tempatan, antarabangsa ataupun kepantasan platform media sosial.

Senario itu ternyata mencetuskan persaingan dalam penyampaian berita, sekali gus menuntut organisasi media untuk mempertahankan standard integriti yang lebih tinggi.

Selain itu, media juga perlu menyedari bahawa setiap laporan yang disiarkan berupaya membawa impak besar kepada masyarakat, kerana media bukan sekadar medium penyampai berita, tetapi berperanan membentuk persepsi, mempengaruhi pemikiran serta mencorakkan tindakan masyarakat.

Oleh yang demikian, tanggungjawab menyampaikan berita secara tepat, beretika dan berintegriti amat penting kerana sebarang kesilapan bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi individu, malah berisiko menggugat keharmonian serta mengancam kestabilan sosial negara.

“Oleh sebab itulah bagi saya kewartawanan bukan sekadar menyampaikan maklumat, sebaliknya satu amanah besar untuk memastikan setiap laporan disampaikan secara tepat, seimbang dan bebas daripada sebarang kepentingan.

“Dalam konteks Malaysia yang unik dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya, satu kesilapan kecil atau adanya laporan yang tidak tepat, mampu mencetuskan salah faham dan akhirnya menjejaskan keharmonian serta mencetuskan ketegangan dalam negara,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata tema Media Berintegriti, Teras Kredibiliti yang diangkat bersempena dengan HAWANA  2026 itu adalah selari dengan usaha kerajaan untuk memastikan kualiti penyampaian maklumat dan kepercayaan rakyat terhadap institusi media terus diperkukuh.

Fahmi berkata agenda tersebut turut bermatlamat untuk memperkasa peranan pengamal media dalam memacu pembangunan negara.

 

SAHKAN SEBELUM SIAR

Mengulas lanjut, Sharifah Sofiah berkata dalam dunia media digital masa kini, wartawan berdepan tekanan besar untuk melaporkan berita dengan pantas, terutamanya apabila berkaitan isu tergempar atau kandungan yang sedang tular.

Namun begitu, pengamal media profesional perlu sentiasa berpegang pada prinsip “sahkan sebelum siar”  bagi memastikan setiap laporan yang disampaikan tepat, sahih dan tidak mewujudkan kekeliruan dalam masyarakat.

Beliau berkata meskipun kepantasan  menyiarkan berita menjadi tuntutan utama dalam industri media ketika ini, ketepatan fakta dan integriti kewartawanan tetap perlu diutamakan kerana sebarang kesilapan dalam pelaporan bukan sahaja boleh menjejaskan individu dan organisasi, malah memberi kesan buruk kepada masyarakat secara keseluruhan.

“Untuk itu, wartawan perlu menyemak maklumat daripada pelbagai sumber dan tidak bergantung pada satu pihak sahaja. Proses semakan silang ini penting bagi memastikan fakta yang diperoleh benar-benar tepat dan tidak dipengaruhi unsur manipulasi atau agenda tertentu.

“Wartawan juga perlu mengelakkan penggunaan tajuk sensasi atau ‘clickbait’ semata-mata untuk menarik perhatian pembaca kerana tindakan tersebut boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan kredibiliti media itu sendiri,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan media sosial tidak boleh dijadikan sumber utama tanpa pengesahan daripada pihak berautoriti.


Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil melancarkan tema dan logo rasmi HAWANA 2026 yang mengangkat peranan penting pengamal media Malaysia

Katanya, meskipun platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan aplikasi X mampu menyebarkan maklumat pada kadar yang sangat pantas, kebanyakan kandungan di platform tersebut tidak melalui proses semakan fakta yang sepatutnya.

Justeru, pengamal media perlu menguasai literasi digital serta mendalami etika penulisan siber, termasuk aspek privasi, hak cipta, manipulasi kandungan dan ancaman penyebaran berita palsu, bagi memastikan laporan yang dihasilkan kekal tepat, beretika dan berintegriti.

“Dalam masa yang sama, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi digital perlu digunakan secara bertanggungjawab untuk membantu proses kewartawanan, bukannya menggantikan prinsip etika dan pertimbangan manusia.

“Hari ini kita melihat cabaran terbesar ialah maklumat bergerak terlalu pantas sehingga masyarakat sukar membezakan antara fakta dan spekulasi…kerana itu wartawan profesional perlu membezakan diri mereka daripada penyebar maklumat biasa dengan mengekalkan disiplin etika, pengesahan fakta dan tanggungjawab sosial dalam setiap laporan yang diterbitkan,” tambahnya.

Sharifah Sofiah bagaimanapun tidak menyangkal tekanan untuk menjadi “first to report” boleh menjejaskan ketepatan serta integriti pelaporan berita, terutamanya apabila sesebuah organisasi media terlalu mengejar “breaking news” tanpa pengesahan yang mencukupi.

Namun katanya, menjadi pihak pertama melaporkan sesuatu berita bukan lagi ukuran utama kejayaan sesebuah organisasi media, tetapi, yang lebih penting ialah memastikan setiap laporan disampaikan secara tepat, sahih selain berupaya mengekalkan kepercayaan masyarakat.

“Cuba kita lihat dalam beberapa isu semasa di Malaysia, terdapat kes berita tular yang dilaporkan terlalu awal sebelum fakta sebenar diperoleh. Akibatnya, media terpaksa menarik balik laporan atau membuat pembetulan.

“Jika media terlalu mengejar kelajuan tanpa memastikan kesahihan fakta, ia boleh menyebabkan penyebaran maklumat tidak tepat dan akhirnya menjejaskan kredibiliti organisasi media itu sendiri,’’ katanya.

 

MEDIA SOSIAL UBAH LANDSKAP KEWARTAWANAN

Dalam pada itu, Sharifah Sofiah berkata media sosial bukan sahaja mengubah landskap kewartawanan menjadi lebih terbuka dan pantas, bahkan pada masa yang sama meningkatkan risiko penyebaran maklumat tidak sahih.

Implikasinya, sesiapa sahaja boleh bertindak sebagai “penyampai berita” tanpa latihan asas kewartawanan sekali gus melangkaui etika professional bidang itu.


Peranan media rasmi dan bertauliah kian kritikal, bukan hanya sebagai penyebar berita sahih tetapi juga selaku benteng pertahanan terhadap penularan berita palsu, tidak tepat ataupun mengelirukan.

Situasi itu katanya  mewujudkan budaya “tular lebih penting daripada benar” sehingga menyukarkan masyarakat membezakan antara fakta, pendapat ataupun propaganda.

“Kesannya, penularan berita palsu yang mencetuskan salah faham serta ketegangan sosial dilihat semakin meningkat. Dalam mendepani cabaran integriti ini, wartawan dituntut bekerja lebih keras untuk memastikan setiap maklumat disahkan sepenuhnya sebelum diterbitkan.

“Disebabkan itu media arus perdana perlu berperanan menjadi sumber rujukan yang sahih dan dipercayai oleh setiap golongan masyarakat. Meskipun sesiapa sahaja boleh berkongsi maklumat di media sosial, tidak semua mempunyai kemahiran untuk mengesahkan fakta atau memahami etika laporan,” tegas Sharifah Sofiah.

Pandangan senada turut disuarakan oleh pensyarah kanan Program Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia Dr Fauziah Hassan yang berpendapat dalam era media sosial, sesiapa sahaja berupaya menjadi penyampai maklumat.

Beliau berkata ini kerana kelompok itu sering terdorong untuk menjadi yang pertama menyampaikan sesuatu maklumat kepada masyarakat, sama ada melalui hantaran di media sosial, sesi siaran langsung ataupun perkongsian menerusi aplikasi WhatsApp atau Instagram.

“Saya melihat keadaan ini menjadi cabaran kepada wartawan profesional untuk menyaingi kepantasan penyebaran maklumat oleh pihak lain.

“Dalam masa yang sama, wartawan juga berdepan persaingan dengan pencipta kandungan, pempengaruh, selebriti serta algoritma media sosial yang secara tidak langsung memberi tekanan kepada mereka untuk terus mengekalkan keseimbangan antara etika kewartawanan dan ketepatan sesuatu berita yang disampaikan,” katanya.

 

KEBEBASAN BERSUARA

Mengulas lanjut, Fauziah berkata dalam perkembangan media sosial hari ini, terdapat juga segelintir pihak yang lantang menuntut hak kebebasan bersuara, namun tuntutan tersebut kerap kali disalah tafsir sebagai lesen mutlak untuk bersuara tanpa sebarang batasan dan etika.


Pensyarah kanan Program Komunikasi, USIM Dr Fauziah Hassan

Beliau berkata meskipun kebebasan bersuara penting dalam sistem demokrasi, penyalahgunaannya hanya akan mempercepat penyebaran fitnah, spekulasi dan maklumat palsu di media sosial.

“Ada individu yang beranggapan semua pandangan atau maklumat yang dikongsi atas nama ‘kebebasan bersuara’ tidak wajar dipersoalkan. Hakikatnya, kebebasan bersuara tetap mempunyai batasan, khususnya apabila melibatkan penyebaran berita palsu, fitnah, kebencian atau kandungan yang boleh mengancam keselamatan.

“Situasi inilah sebenarnya yang menyukarkan tugas wartawan, kerana dalam banyak keadaan wartawan terpaksa mengambil masa untuk membuat verifikasi fakta sedangkan masyarakat sudah terlebih dahulu terdedah kepada pelbagai versi cerita yang dikongsikan oleh pengguna media sosial,’’ katanya.

Fauziah berkata meskipun setiap individu mempunyai ruang untuk bersuara melalui media sosial, peranan media profesional kekal penting dalam memastikan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat, seimbang dan boleh dipercayai.

Dalam konteks ini katanya media profesional perlu berperanan sebagai pihak yang menjalankan pengesahan fakta, mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak serta memastikan sesuatu isu dilaporkan secara lebih adil dan bertanggungjawab.

Media profesional bukan sekadar menyampaikan maklumat, sebaliknya turut membantu masyarakat memahami konteks sebenar sesuatu isu agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang mengelirukan.

“Walaupun konsep ‘gatekeeping’ hari ini semakin berubah akibat era digital, masyarakat masih memerlukan organisasi media yang mempunyai etika, standard editorial dan akauntabiliti dalam setiap pelaporan berita masing-masing.

“Misalnya, apabila sesuatu isu atau tragedi menjadi tular di media sosial, ramai pengguna berkongsi pelbagai versi cerita tanpa sebarang pengesahan. Namun begitu, masyarakat akhirnya tetap merujuk media profesional atau media arus perdana untuk mendapatkan maklumat rasmi yang lebih sahih dan dipercayai…ini menunjukkan bahawa dalam dunia yang semakin terbuka, integriti dan kredibiliti merupakan nilai utama yang membezakan media profesional daripada kandungan yang tersebar di media sosial,” katanya.

 

KEKALKAN KREDIBILITI

Sementara itu, Fauziah berkata organisasi media perlu memastikan setiap laporan yang disampaikan mempunyai ketepatan fakta, pengesahan maklumat serta mematuhi etika kewartawanan bagi membina dan mengekalkan kredibiliti dalam kalangan masyarakat.


Media profesional perlu berperanan sebagai pihak yang menjalankan pengesahan fakta.

Beliau berkata dalam era lambakan maklumat masa kini, masyarakat lebih menghargai media yang dipercayai walaupun tidak menjadi pihak paling pantas dalam menyampaikan berita dan kerana itu media perlu berperanan sebagai sumber rujukan berkualiti atau “premium source” yang menawarkan kandungan sahih, seimbang dan bertanggungjawab.

Kredibiliti sesebuah organisasi media bukan sahaja dibina melalui penyampaian berita yang tepat, malah turut dipengaruhi oleh ketelusan, profesionalisme dan konsistensi dalam pelaporan.

Pada masa sama, media juga perlu lebih kreatif dan relevan dalam penyampaian maklumat bagi menarik perhatian audiens masa kini, khususnya golongan muda.

‘’Penggunaan video pendek, infografik, podcast serta kandungan media sosial kini menjadi antara pendekatan yang digunakan untuk menyampaikan berita dalam bentuk lebih menarik dan mudah difahami tanpa mengabaikan etika serta integriti kewartawanan.

‘’Sebagai contoh, banyak media arus perdana kini menggunakan format video pendek dan kandungan “explainer” di platform seperti TikTok dan Instagram bagi menarik audiens muda. Selain itu, penggunaan visual interaktif dan data journalism turut membantu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap sesuatu isu,’’ katanya.

Perkembangan itu juga jelasnya, membuktikan bahawa media masih mampu mengekalkan kepercayaan masyarakat sekiranya dapat menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi tanpa mengabaikan prinsip profesionalisme kewartawanan.

HAWANA yang disambut pada 29 Mei setiap tahun merupakan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia yang bertujuan mengiktiraf sumbangan pengamal media dalam membantu membentuk minda masyarakat serta menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan.

Sambutan HAWANA 2026 yang memasuki tahun keenam penganjurannya akan diakhiri dengan majlis kemuncak sambutan di Pusat Konvensyen PICCA@ Arena Butterworth, Pulau Pinang, pada 20 Jun depan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan