JENAYAH & MAHKAMAH

Ibu Muda Mengaku Salah Sebabkan Kematian Bayi Baru Lahir

03/06/2026 03:17 PM

JOHOR BAHRU, 3 Jun (Bernama) -- Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi perempuannya yang baru dilahirkan.

Nuran Batrisya Jamaludin, 22, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.

Dia didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian seorang bayi perempuan di tempat letak kenderaan di sebuah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Skudai antara 11 pagi hingga 2.30 petang pada 20 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Julai depan untuk serahan dokumen, menunggu laporan bedah siasat serta keputusan hukuman.

Pegawai Pendakwa R. Nevina tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap wanita itu yang mempunyai seorang lagi bayi, iaitu kembar kepada mangsa.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin, selain dikenakan syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Sebelum ini, polis dilapor menahan seorang wanita tempatan kerana dipercayai mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat 10 sebuah rumah pangsa di bandar raya ini dalam kejadian pada Mei lepas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan