KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Usaha Malaysia untuk terus kekal berdaya saing dari segi ekonomi di samping memenuhi komitmen kemampanannya secara bertanggungjawab dan realistik akan mewujudkan peluang besar dalam menjalin kerjasama dengan Jepun, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kedua-dua negara itu boleh memperkukuh lagi kerjasama, terutamanya dalam tenaga boleh baharu, pembangunan hidrogen, kecekapan tenaga, infrastruktur hijau dan penyelesaian industri mampan.
Malaysia melihat potensi yang amat besar dalam tenaga boleh baharu, teknologi hijau, infrastruktur digital, pembuatan termaju, pusat data, logistik pintar, kecerdasan buatan (AI) dan ketersambungan rentas sempadan, iaitu sektor di mana kepakaran, inovasi dan pengalaman global Jepun boleh melengkapi kekuatan serta cita-cita negara ini.
"Memandangkan Malaysia sedang mengorak langkah ke arah menjadi ekonomi bernilai tinggi dan dipacu oleh inovasi, perkongsian dengan pemain antarabangsa yang dipercayai seperti Jepun akan terus menjadi sangat kritikal," kata beliau dalam ucaptama sempena Forum Perundangan dan Perniagaan Malaysia-Jepun 2026.
Forum itu dianjurkan oleh RDS Partnership, sebuah firma guaman Malaysia dan Anderson Mori & Tomotsune (AMT), salah satu firma guaman yang memberi perkhidmatan penuh terbesar dan paling berprestij di Jepun.
Fadillah berkata perkongsian Malaysia-Jepun sejak sekian lama mencerminkan semangat optimisme, yang dibina atas asas kerjasama dan bukannya persaingan, serta peluang bersama dan bukannya kepentingan sendiri yang sempit.
"Pemikiran sebeginilah yang akan membolehkan kedua-dua negara terus mencipta peluang baharu, memacu inovasi dan memperkukuh daya tahan pada tahun-tahun akan datang," kata beliau.
Beliau juga berkata ketika ASEAN terus muncul sebagai salah satu rantau pertumbuhan yang paling dinamik di dunia, Malaysia berada dalam kedudukan yang unik untuk berfungsi sebagai pintu masuk bagi perniagaan Jepun yang ingin mengembangkan operasi di rantau ini.
"Pada masa yang sama, syarikat Malaysia bakal menerima manfaat yang amat besar daripada inovasi, teknologi, kepakaran dan rangkaian global Jepun.
"Bersama-sama, kita boleh memacu kemajuan dalam bidang infrastruktur, tenaga bersih, pengangkutan, transformasi digital, pembuatan termaju dan pemodenan industri," katanya.
Lebih penting lagi, beliau berkata Malaysia dan Jepun boleh membina perkongsian yang mengukuhkan keupayaan, pembangunan bakat dan meningkatkan daya tahan ekonomi jangka panjang untuk generasi masa hadapan.
Fadillah turut mengulangi komitmen Malaysia untuk melaksanakan peralihan tenaga yang pragmatik dan mampan secara komersial.
"Kami mengiktiraf bahawa untuk mencapai objektif kemampanan, ia mesti seiring dengan usaha bagi mengekalkan daya saing, kemampuan dan keselamatan tenaga," kata beliau.
Beliau menyatakan dalam hal ini, pemain industri memerlukan laluan kawal selia yang jelas, infrastruktur yang boleh diharap dan rangka kerja pelaksanaan yang praktikal.
"Jika kita terus melabur dalam kepercayaan, memperkukuh institusi kita dan bekerjasama dengan penuh matlamat, saya yakin lembaran seterusnya dalam hubungan Malaysia–Jepun akan menjadi lebih bermakna, berimpak tinggi dan makmur berbanding sebelum ini," tambah beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial